Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pelantikan pengerusi baru, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkuatkuasa 3 Ogos 2021.

Beliau menggantikan Jeneral (Bersara) Datuk Seri DiRaja Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara selepas berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

Raja Mohamed Affandi pernah menyandang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016.

Beliau bersara pada tahun 2018 selepas menabur khidmat bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 42 tahun.

Sebelum menerajui ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-25 pada tahun 2013.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan ketenteraan dan diplomasi ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Panglima Medan Tentera Darat.

Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan (Australia) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik (Pakistan).

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Rahman berkata, LTAT mengalu-alukan kedatangan Raja Mohamed Affandi sebagai Pengerusi LTAT yang baharu.

"Dengan pengalaman beliau dalam kepimpinan ketenteraan, beliau membawa bersama tradisi kepimpinan yang efektif yang akan memandu LTAT dalam perjalanan transformasi menjadi sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai Pengerusi LTAT terdahulu, Zahidi telah memainkan peranan yang amat penting dalam memberi pandangan serta hala tuju untuk pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang baik serta memainkan peranan besar dalam menyumbang buah fikiran dalam proses merangka Pelan Transformasi LTAT.

"Jasa Zahidi memimpin dan membimbing Lembaga serta barisan pengurusan kanan dalam pelbagai inisiatif selama ini amat dihargai.

"Saya mewakili warga LTAT, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas segala khidmat bakti serta kebijaksanaan Zahidi sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengerusi kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:04 PM