MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra bersama Duta IM4U, Tan Sri Michelle Yeoh yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan Lawatan ke Hospital Medan Cox Bazar di TUDM Subang. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra bersama Duta IM4U, Tan Sri Michelle Yeoh yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan Lawatan ke Hospital Medan Cox Bazar di TUDM Subang. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Nasif Badruddin


BINTANG Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh antara delegasi khas melawat Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh, hari ini.

Turut sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Delegasi 44 orang bersama 13 kru penerbangan pesawat Airbus A400M itu akan mengedarkan 10 tan barangan bantuan seperti peralatan perubatan, makanan serta keperluan asas kepada pelarian Rohingya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir menghantar delegasi khas itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang, pada kira-kira 9 pagi ini.

Delegasi itu dijangka tiba di Chittagong, Bangladesh dalam kira-kira dua jam sebelum meneruskan perjalanan darat ke Cox's Bazar untuk tambahan dua jam.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Hishammuddin berkata, misi ketiga diketuai Raja Mohamed Affandi itu akan menilai impak bantuan diberikan hingga kini dan memastikan Hospital Medan Malaysia dilengkapi dengan sumber mencukupi untuk menangani keadaan yang melanda pelarian Rohingya.

Katanya, lawatan itu dilakukan selaras dengan Kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan memberi bantuan dalam menyediakan peralatan dan bekalan perubatan di hospital medan selain kerjasama Bangladesh.

“Dengan sokongan Arab Saudi dan UAE dalam hal ini, kita akan tunggu laporan Panglima Angkatan Tentera Malaysia sebelum memutuskan tempoh operasi hospital medan di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, pakar perubatan di hospital medan bekerja tanpa henti merawat 3,768 pesakit sejak beroperasi 31 November tahun lalu.

Katanya, kemudahan hospital menggunakan aset dan peralatan perubatan bernilai RM18 juta dengan kos operasi keseluruhan RM3.5 juta sepanjang tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 10:51 AM