PENDUDUK yang lari selepas diusir dari kampung mereka.
PENDUDUK yang lari selepas diusir dari kampung mereka.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Berlindung di sebalik bukit-bukau sambil mengintai peluang kalau dapat lolos ke Bangladesh sehelai sepinggang.

Keadaan itu dilalui lebih 500 penduduk di Rakhine yang kini berada di hutan berhampiran sempadan Bangladesh untuk menyeberang Sungai Naf ke Kem Balukhali.

Ketika kampung mereka sama ada di Maungdaw, Rathedaung dan Buthidaung dibakar dan penduduk ditembak dalam operasi ketenteraan yang masuk hari kelima semalam, mereka tiada lagi pilihan melainkan melarikan diri ke kawasan selamat.

Aktivis Kesatuan Rohingya Arakan Ibrahim Ali berkata, pihaknya bimbang jumlah pelarian yang terlalu ramai di sekitar sempadan akan menjadi satu perangkap untuk pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

“Setakat ini kita masih belum tahu jumlah kematian sebenar, namun berdasarkan apa yang berlaku, kami menganggarkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Apa yang boleh saya katakan, ia ibarat perang berat sebelah kerana penduduk tidak mampu melawan tentera yang menggunakan pelbagai peralatan canggih dan serangan dari udara,” katanya.

Ibrahim berkata, keadaan menjadi lebih genting kerana tiada siapa tahu bagaimana nasib penduduk kerana perkembangan terbaru adalah sejak semalam, sebelum mereka terputus hubungan komunikasi.

Katanya, penduduk keliru ke mana mereka mahu pergi kerana hampir tiada tempat selamat untuk tinggal selain tiada bekalan makanan yang dibawa bersama ketika serangan berlaku.

“Rakan-rakan memberitahu mereka terkepung selepas usaha memasuki Bangladesh menjadi sia-sia kerana halangan pihak berkuasa.

“Kita menjangkakan ramai yang akan mati akibat kebuluran kerana mereka tidak sempat membawa apa-apa waktu itu. Jangankan kata makanan, ada yang tidak tahu ke mana ibu bapa, anak-anak mereka pergi ketika kelam-
kabut menyelamatkan diri.

“Keadaan di kampung Bo Gyi Chaung, Tinganet, Yinma Kyaung Daung dan Taung Bazaar, Buthidaung umpama tinggalan perang dan kesan terbakar masih jelas kelihatan biarpun hujan kebelakangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:00 AM