Yusmizal Dolah Aling


BUKAN kerja Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) sebaliknya kumpulan lain yang menjalankan operasi membakar perkampungan etnik Rohingya di Maungdaw, Myanmar.

Pendedahan itu dibuat aktivis kemanusiaan, Mohamed Taher atau nama asalnya, Tin Soe selepas menjalankan kajian dan carian fakta bersama Kaladan Press Network di Arakan dan Bangladesh sejak krisis tercetus 25 Ogos lalu menyebabkan sejuta pelarian lari ke Bangladesh sehingga hari ini.

Beliau yang juga Pengarang Eksekutif Kaladan Press Network berkata, berdasarkan temubual di lokasi kejadian bersama 60 pelarian, tiada unsur gerakan militan ketika operasi ketenteraan dijalankan di perkampungan Rohingya di sana, sebaliknya ia adalah serangan satu pihak saja.

Ia bertentangan dengan kenyataan pihak berkuasa kononnya serangan ke atas beberapa kampung didalangi ARSA termasuk tindakan membakar rumah sendiri oleh penduduk selepas serangan itu.

"Kita menjalankan kajian dengan menemubual beberapa pihak termasuk pelarian. Jelas, tiada sebarang unsur militan atau ARSA ketika kejadian. Ia hanya berlaku satu hari dan selepas itu, operasi membakar, bunuh, rogol serta mencederakan penduduk dilakukan oleh pelampau.

"ARSA tidak terbabit dengan serangan ini. Seperti krisis sebelum ini, ia hanya berlaku satu hari. ARSA yang kita tahu tidak mempunyai senjata api moden melainkan senjata tajam, tetapi mangsa dalam krisis ini ditembak. Jadi, kita membuat kesimpulan, operasi pembersihan etnik ini dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar, namun meletakkan kesalahan itu kepada ARSA," katanya pada sidang media yang diadakan di Rumah Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), hari ini.

Hadir sama, Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan, Timbalan Presiden Mohd Johari Ismail dan Setiausaha Agung Zakaria Abd Latif.

Mohamed Tahir berkata, situasi terkini di Arakan begitu tegang dengan kawalan ketenteraan hampir di semua tempat, memberikan tekanan kepada 800,000 pelarian yang masih berada di sana di dalam 'kepungan' askar.

"Setiap hari, mereka perlu menunjukkan surat kebenaran untuk memasuki kawasan tertentu, tidak boleh keluar menangkap ikan, rumah dipasang pagar berduri dan tidak dibenarkan membawa pisau atau kelengkapan untuk berkebun.

"Kita ada wakil yang dihantar ke Arakan yang mengumpul maklumat mengenai apa sebenarnya yang berlaku dan ia sama sekali berbeza dengan dakwaan tentera bahawa wujud kehadiran pengganas di sana.

"Daripada lebih 500 kampung, ketika ini hanya ada lebih 100 kampung di sekitar Maungdaw yang masih bertahan dengan apa yang ada, manakala bantuan luar langsung tidak dapat dibawa masuk," katanya yang mengendalikan 50 sekolah untuk anak-anak pelarian Rohingya di Kem Kutupalong, Bangladesh.

Sementara itu, Zulkifli berkata, misi Muslim Care untuk Rohingya seterusnya akan diadakan pada 22 Disember di Cox's Bazar untuk menyantuni pelarian di sana.

Katanya, turut serta dalam misi terbabit adalah 15 sukarelawan termasuk doktor yang akan meneruskan klinik bergerak yang ditubuhkan dalam misi penghujung Oktober lalu.

"Selain itu, kita juga akan melihat kemudahan pendidikan seperti membina atau menambah baik kemudahan sekolah di sana kerana begitu daif,” katanya. Sumbangan rakyat Malaysia untuk menjayakan misi boleh dilakukan melalui akaun Muslim Care 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 0126935938.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 4:26 PM
Mohamed Taher dan Zulkifli Wahijan (kanan) pada sidang media ‘Kisah Benar dari Arakan’ anjuran Muslim Care di Rumah Muslim Care, Batu Cave. FOTO Osman Adnan
Mohamed Taher dan Zulkifli Wahijan (kanan) pada sidang media ‘Kisah Benar dari Arakan’ anjuran Muslim Care di Rumah Muslim Care, Batu Cave. FOTO Osman Adnan