Kereta dinaiki mangsa terperosok ke bawah lori di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Kereta dinaiki mangsa terperosok ke bawah lori di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Oleh Erika George


Bintulu: Empat rakan maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan lalu sebelum merempuh sebuah lori berhenti di tepi jalan di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian jam 5.30 pagi itu menyebabkan empat yang menaiki Proton Persona berkenaan maut di lokasi manakala seorang lagi cedera parah.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Nelson Harry Kap, 28, yang juga pemandu dan tiga rakannya dikenali Mapura Anthony Jawi, 28, Langgong Gurang, 30 dan Adrian George, 21.

Manakala seorang lagi penumpang iaitu Brandon Libat, 28, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Bintulu.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Proton Persona berkenaan dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Miri.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dikatakan hilang kawalan dan merempuh lori yang diparkir di bahu kiri laluan berkenaan.

"Rempuhan yang cukup kuat itu menyebabkan kereta terbabit remuk teruk di bahagian hadapan dan terperosok di bawah lori berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

beliau.

Alexson berkata, polis terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kereta terbabit yang mengambil masa hampir tiga jam untuk selesai.

"Pasukan paramedik yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk tujuan bedah siasat.

"Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah turut diberikan rawatan lanjut di Hospital Bintulu," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 2:38 PM