Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Polis berjaya menumpaskan sindiket skim pelaburan forex selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bukit Ceylon di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 1.15 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai dalang utama sindiket penipuan itu dan seorang lagi lelaki berusia 34 tahun di tempat letak kenderaan di sebuah pusat membeli-belah di Lingkaran Syed Putra Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Wira Hamza Taib berkata, serbuan itu dilakukan susulan polis menerima laporan daripada wanita warga China berusia 27 tahun.

“Sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak 131 laporan polis membabitkan kerugian RM32.2 juta berkaitan penipuan itu dilaporkan.

“Sehubungan itu, JSJK Kontinjen Selangor bersama Bahagian Risikan Operasi JSJK Bukit Aman menjalankan siasatan dan risikan terhadap sindiket yang terbabit dalam penipuan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis merampas wang tunai RM2.7 juta, dua kereta Toyota Velfire dan Honda CRV, telefon bimbit, pasport, kad pengenalan palsu serta beberapa dokumen.

Menurutnya, sindiket itu bertindak memperdayakan mangsa dengan menawarkan keuntungan lumayan dan kemewahan hasil daripada perniagaan dan pelaburan forex.

Katanya, sindiket itu juga dikesan sering bertukar nama syarikat dan menggunakan identiti yang tidak wujud seperti pasport dan kad pengenalan palsu dalam menjalankan aktiviti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket penipuan yang membabitkan warga tempatan dan asing ini sentiasa mencari jalan untuk menjerat mangsanya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:35 AM