Izlaily Nurul Ain Hussein


KERJA pembersihan tumpahan minyak akibat dua kapal dagang berlanggar di kira-kira 3.2 batu nautika Timur Laut Tompok Utara dekat Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi, kelmarin dijangka mengambil masa sehingga dua minggu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, sepanjang pemantauan yang dilakukan, kesan tumpahan minyak itu dalam keadaan terkawal.

"Laporan udara yang diterima daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaporkan bahawa keadaan minyak di kawasan kejadian iaitu radius tiga batu nautika adalah terkawal.

"Rondaan sudah pun dibuat bermula dari pantai Mersing hingga ke lokasi kejadian dan sepanjang pemantauan dari arah Mersing didapati tiada kesan minyak dilihat di laut dan kawasan pantai.

"Namun, apa yang dilihat di sekitar kapal Sinica Graeca hanya terdapat kesan minyak sepanjang dua batu nautika dengan komposisi anggaran lapan peratus metalik, 40 peratus warna pelangi dan 50 peratus 'sheen' yang dianggarkan kira-kira 7,530 liter," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, tiada kelihatan minyak yang tebal di permukaan air.

Harian Metro hari ini, melaporkan dua kapal iaitu Chemroad Mega dan Sinica Graeca dikesan terbabit dalam pelanggaran itu kira-kira 10.30 malam.

Chemroad Mega adalah kapal tangki minyak atau kimia yang didaftarkan di Panama dan dibina pada 2000, manakala Sinica Graeca yang juga kapal mengangkut barangan pukal itu dibina pada 2015 dan didaftarkan di Marshall Islands.

JAS negeri juga sudah mengarahkan pemilik kapal untuk meletakkan bon jaminan RM5 juta bagi kedua-dua kapal itu serta ditahan sehingga bon diserahkan dan tindakan segera akan diambil untuk kerja pembersihan tumpahan minyak.

Berita berkaitan

'Kapal dagang berlanggar, minyak tumpah'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 5:48 PM