SEBAHAGIAN gelandangan yang ditahan dalam operasi bersepadu di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.
SEBAHAGIAN gelandangan yang ditahan dalam operasi bersepadu di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kegagalan melunaskan sewa rumah dikatakan menyebabkan seorang lelaki hidup merempat bersama anak lelakinya berstatus orang kurang upaya (OKU) di kaki lima di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam operasi di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 61 tahun bersama anak lelakinya berusia 22 tahun itu diselamatkan jam 1 pagi selepas ditemui tidur di kaki lima ketika pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JKM di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM negeri Haslinda Abdul Hamid berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Beliau berkata, selepas berhenti kerja, lelaki itu dilaporkan gagal melunaskan tunggakan sewa rumahnya di Taman Manggis, di sini sebelum dihalau keluar dari rumah.

“Berikutan ketiadaan rumah, lelaki berkenaan bersama anak lelakinya yang mempunyai kad OKU itu terpaksa tidur di kaki lima selain turut mencari rezeki dengan meminta sedekah.

“Pemeriksaan mendapati sebelum ini JKM pernah menyelamatkannya dan dia masih lagi tidur di kaki lima sedangkan masih mampu bekerja seperti orang lain walaupun sudah berusia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JKM negeri Shaballah Zainal Abidin.

Sementara itu, dalam operasi bermula dari jam 1 pagi hingga 5 pagi itu, JKM berjaya menyelamatkan 65 gelandangan dan kutu rayau di sekitar Komtar dan beberapa lokasi lain.

Haslinda berkata, operasi itu membabitkan 44 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk JKM, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Imigresen negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, selain Komtar, mereka melakukan pemeriksaan di kawasan Jalan Dato Keramat, Jalan Perak, Jalan Kapitan Keling, Lebuh Pantai dan Jalan Penang.

Menurutnya, secara keseluruhan, seramai 61 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 60-an diselamatkan, termasuk ada dalam kalangan mereka yang pernah ditahan beberapa kali.

“Antara punca utama mereka menjadi gelandangan akibat tiada rumah, tertinggal bas dan bermacam lagi alasan dan semua yang ditahan itu adalah rakyat tempatan.

“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat JKM Daerah Timur Laut untuk tujuan dokumentasi sebelum tindakan lanjut dilakukan termasuk memastikan sama ada mereka benar-benar gelandangan atau mempunyai keluarga,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:56 AM