GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Lebih 300 pengusaha restoran di negara ini sudah menerima kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing bagi memenuhi keperluan di sektor itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, mereka menarik nafas lega kerana ia dapat menyelesaikan antara masalah 'utama' industri berkenaan.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia di atas kebenaran berkenaan.

"Dalam pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, Presma juga memohon beberapa perkara sebagai penambahbaikan kepada keputusan kerajaan mengenai kemasukan pekerja asing ini.

"Antaranya lanjutan tahun keenam untuk rehiring dan seterusnya, kuota nisbah 1:3 ditambah kepada 1:10, had umur ditambah kepada 55 tahun dan pekerja yang baru tiba pertama kali diberi tempoh tiga bulan untuk menyesuaikan diri.

"Selain itu, seperti yang diminta oleh ahli-ahli, kita juga mohon supaya levi diselaraskan sebanyak RM1,850 untuk tahun ke-11 dan ke atas serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak dihadkan tempoh dan diberi seperti PLKS untuk pembantu rumah," katanya.

Beliau berkata, dengan perkembangan terbaharu itu, Presma berharap agar semua pengusaha restoran dapat memberikan perkhidmatan terbaik demi manfaat bersama.

Katanya, dengan adanya jumlah pekerja asing yang signifikan, ia akan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada serta memudahkan pelanggan yang berkunjung ke restoran.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Menu Rahmah, beliau berkata, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan juadah berkenaan yang dijual pada harga yang berpatutan.

Katanya, pengusaha restoran juga secara tidak langsung membuktikan mereka turut bersama-sama kerajaan dalam membantu rakyat ketika situasi ekonomi tidak menentu.

"Kita jangkakan servis di restoran akan semakin baik dengan adanya pekerja asing nanti. Justeru Presma mengulangi pendirian untuk sama-sama memainkan peranan dalam membangunkan negara menerusi perkhidmatan yang memuaskan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 3:46 PM