HOFBAUER (kiri)  mengambil juadah pada Majlis Jamuan Raya oleh Nestle untuk kakitangan NSTP di Balai Berita Shah Alam.
HOFBAUER (kiri) mengambil juadah pada Majlis Jamuan Raya oleh Nestle untuk kakitangan NSTP di Balai Berita Shah Alam.

Shah Alam: Nestle (Malaysia) Berhad mengadakan lawatan korporat di Balai Berita Shah Alam (BBSA) Sempena Ulang Tahun Akhbar New Straits Times (NST) ke-170 di sini, semalam.

Pengarah Urusannya Alois Hofbauer berkata, pihaknya sangat teruja kerana pertama kali mengadakan lawatan di kilang percetakan surat khabar terbesar di negara ini.

Selain itu katanya, warga kerja di BBSA juga dapat menikmati pelbagai produk Nestle yang dibawakan khas untuk mereka.

“Lawatan ini dilakukan atas nasihat Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Mohammad Azlan Abdullah supaya mengunjungi BBSA.

“Kami juga sangat berbesar hati dapat meraikan ulang tahun NST yang ke-170, ia menunjukkan NST lebih 20 tahun usia berbanding Nestle yang sudah berusia 150 tahun,” katanya, semalam.

Sementara itu, Mohammad Azlan berkata, Nestle adalah pengeluar produk makanan dan minuman terbesar di negara ini yang juga rakan iklan terbesar yang sentiasa menyokong industri media.

Katanya, beliau berbesar hati kerana Nestle turut meraikan warga BBSA melalui jamuan raya sekali gus meraikan ulang tahun NST yang ke-170.

“Kami berbesar hati dan teruja dengan kunjungan Nestle ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 7:40 AM