WARGA asing  bersembunyi di atas siling rumah kongsi.
WARGA asing bersembunyi di atas siling rumah kongsi.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Beberapa warga asing bersembunyi di atas siling, bawah kerusi dan di dalam lumpur sebaik menyedari rumah kongsi mereka diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di tapak pembinaan di Gual Periok, dekat Pasir Mas, semalam.

Serbuan menerusi Op Ikrar antara jam 9 malam hingga 4 pagi itu menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen,
Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam serbuan itu seramai 209 orang warga asing yang diperiksa dan 22 orang daripada mereka ditahan.

Katanya, menyedari rumah kongsi diserbu ada beberapa warga asing cuba bersembunyi di pelbagai tempat dengan harapan tidak dijumpai.

“Namun, taktik mereka itu kita sudah ‘masak’ dan mereka yang tiada dokumentasi sah tetap ditahan.

“Sebelum itu, anggota yang bertugas mengetuk pintu rumah kongsi berulang kali sebelum mereka memberikan kerjasama.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati ada warga asing yang tinggal di rumah kongsi berkenaan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya di sini, semalam.

Turut serta dalam operasi itu, Pengarah JIM Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Menurutnya, mereka yang ditahan ialah 14 warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan empat Myanmar.

Katanya, warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Semua PATI dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:01 AM