ANGGOTA JIM Johor menahan warga asing dalam beberapa operasi. FOTO ihsan JIM Johor
ANGGOTA JIM Johor menahan warga asing dalam beberapa operasi. FOTO ihsan JIM Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 92 warga asing dalam beberapa operasi selepas melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki pas atau permit sah.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, turut ditahan empat warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai majikan yang menggaji atau memberi perlindungan kepada warga asing itu.

Beliau berkata, menerusi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu yang dijalankan di 17 premis seluruh negeri ini pada kelmarin dan semalam, seramai 54 warga asing termasuk empat majikan warga tempatan ditahan.

Katanya, mereka dipercayai bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit sah serta majikan tempatan itu disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Dalam operasi ini, seramai 126 warga asing serta tempatan diperiksa dan 54 daripada mereka ditahan.

"Mereka yang ditahan ialah 22 lelaki dan lima wanita warga Myanmar, tujuh lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, tiga lelaki warga Nepal dan tiga lelaki warga Pakistan yang berusia antara lima hingga 48 tahun.

"Manakala, empat lelaki warga tempatan yang ditahan dan disyaki sebagai majikan pula berusia antara 25 hingga 46 tahun," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Baharuddin berkata, dalam operasi Ops Selera, pihaknya menahan 24 lagi warga asing jam 9.55 malam tadi selepas menyerbu beberapa gerai di daerah ini yang tular di TikTok.

Beliau berkata, mereka yang ditahan ialah 13 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, empat lelaki warga Yaman serta lima lelaki warga Pakistan yang berusia antara 20 hingga 52 tahun.

"Hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu daripada Unit Tindakan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Johor mengenalpasti lokasi dan subjek berkenaan.

"Siasatan awal mendapati warga asing di premis ini menyalahgunakan pas atau permit untuk bekerja," katanya.

Pada masa sama, Baharuddin berkata, sebanyak 10 premis kediaman warga asing diperiksa dalam operasi Ops Sapu antara jam 12.25 tengah malam hingga 2.30 pagi tadi.

Dalam operasi itu, katanya, seramai 95 warga asing diperiksa dan 18 daripada mereka ditahan terdiri daripada tiga lelaki Bangladesh, sembilan lelaki dan seorang wanita Indonesia serta lima lelaki warga Pakistan yang berusia antara 19 hingga 52 tahun.

Baharuddin berkata, semua yang ditahan melakukan kesalahan memgikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

"Mereka juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas ditetapkan.

"Bagi warga tempatan yang ditahan, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada Pati.

"Sebanyak 17 notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 11:47 AM