Nursyahirah Marzuki


TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam gempa bumi berukuran 7.0 magnitud yang melanda Jiuzhaigou, Aba Tibetan dan Daerah Autonomi Qiang di barat daya Wilayah Sichuan pada 9.19 malam, semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, China sudah menghubungi pihak berkuasa berkaitan dan mengesahkan perkara itu.

"Pihak berkuasa Wilayah Sichuan sedang menangani situasi ini dengan mengambil langkah yang

sewajarnya bagi membantu mangsa yang terbabit dalam bencana ini," katanya.

Menurutnya, ketika ini pihaknya sedang memantau situasi terbabit dengan rapi malah, berhubung rapat dengan pihak berkuasa Wilayah Sichuan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Reuters melaporkan, Korban gempa bumi itu kini 19 orang, termasuk enam pelancong, manakala 247 lagi cedera.

Pihak berkuasa belum menyatakan negara pelancong yang terbunuh dalam gempa yang melanda kawasan penempatan 200 kilometer dari bandar raya Guangyuang.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) melaporkan, gegaran berlaku pukul 9.19 malam semalam (waktu Beijing), pusat gempa bumi 33.2 darjah utara dan 103.82 darjah timur dengan kedalaman 20 kilometer.

Jiuzhaigou atau Lembah Jiuzhai adalah taman negara terkenal dengan air terjun menakjubkan dan

lebih 34,000 orang melawat kawasan berkenaan pada hari kejadian.

Bagaimanapun, sebanyak 31,500 pelancong berjaya dipindahkan ke tempat selamat, bekalan elektrik,

air dan komunikasi juga pulih seperti biasa malah, operasi menyelamat turut membabitkan 90

kenderaan dan 1,200 petugas, khidmat kaunseling turut disediakan.

Pada Mei 2008, gempa berkekuatan 8.0 magnitud menggegarkan Wenchuan, mengakibatkan 80,000

orang terkorban manakala pada 2013 gempa sekuat 7.0 magnitud melanda Lushan menyebabkan 196

maut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 6:06 PM