KEMUSNAHAN yang berlaku akibat gempa bumi di Lombok. Foto AFP
KEMUSNAHAN yang berlaku akibat gempa bumi di Lombok. Foto AFP
Reuters

PENYELAMAT dan tentera Indonesia meneruskan pencarian mangsa masih hidup serta memindahkan penduduk di pulau pelancongan Lombok hari ini, dua hari selepas gempa bumi besar meragut 98 nyawa, memusnahkan perkampungan dan menyebabkan pelancong terkandas.

Angka kematian sejak gempa magnitud 7.0 Ahad lalu mencecah 98 orang termasuk dua di Bali dengan pihak berkuasa menjangka ia akan meningkat.

Jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata di Twitter, penyelamat menggali runtuhan dalam usaha mencari mangsa masih hidup.

Dalam satu kenyataan berasingan, BNPB berkata, usaha menyelamat mangsa berdepan kesukaran di kawasan paling teruk terjejas di utara Lombok namun tidak memberi butiran lanjut.

Dalam sidang media semalam, Sutopo berkata, sesetengah kawasan terputus selepas jambatan runtuh.

Riduan, 45, yang mana rumahnya di Karangkauhan di Lombok sebahagiannya musnah berkata, dia tidak menerima sebarang bantuan setakat ini dan terpaksa membeli makanan sendiri.

“Kami tidak mendapat apa-apa,” katanya ketika cuba menyelamatkan dokumen daripada rumah.

Gempa terus menggegarkan kepulauan itu termasuk gegaran susulan magnitud 5.5 sekitar jam 2 pagi waktu tempatan, kata agensi meteorologi dan geofizik Indonesia (BMKG).

Data BMKG menunjukkan, sejumlah 230 gempa susulan direkodkan pagi hari ini.

Pelancong dilihat masih meninggalkan Lombok hari ini, sesetengah menaiki bas tentera manakala yang lain mengambil feri ke Bali di barat Lombok.

Pihak berkuasa berkata, lebih 2,000 orang dipindahkan dari tiga pulau Gili di luar pantai barat laut Lombok, bimbang selepas amaran tsunami sejurus gempa.

Pelancong dan penduduk Gili dilihat berusaha meninggalkan pulau itu, menurut BNPB.

Tiada angka rasmi berapa ramai pelancong berada di Gili dengan jumlah itu meningkat daripada anggaran asal sebanyak 1,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 4:02 PM