ORANG ramai memilih pakaian pada program Free Market di Dewan SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang.
ORANG ramai memilih pakaian pada program Free Market di Dewan SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Lebih 1,500 penduduk di Kota Masai, di sini, teruja apabila diberi peluang memilih pelbagai kelengkapan asas dan barangan dapur secara percuma dalam program Free Market anjuran lima syarikat di Pasir Gudang, di sini, semalam.

Penganjur utama, Asiaflex Products Sdn Bhd yang juga anak syarikat TechnipFMC bersama empat syarikat lain menghabiskan kira-kira RM40,000 menyediakan pelbagai barangan makanan bertujuan meringankan beban penduduk Kota Masai terutama golongan berpendapatan sederhana.

Ketua Komunikasi dan Sumber Manusia Asiaflex Products Sdn Bhd Zarina Mohamed Noor berkata, program bermula dari jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2, di sini, itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat semua syarikat berkenaan.

Menurutnya, Free Market menjadi platform untuk lima syarikat berkenaan memperkenalkan produk masing-masing kepada masyarakat selain berpeluang mendekati mereka yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan diberikan berbentuk keperluan dapur seperti beras, minyak dan barangan keperluan lain termasuk pakaian, pinggan mangkuk, buku dan mainan kanak-kanak.

“Menerusi program ini, kita mahu pekerja bersikap ambil tahu dan memberi perhatian serta prihatin kepada masyarakat setempat dengan menghulurkan bantuan walaupun sedikit.

“Menerusi Free Market ini, kami dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan kerana kenaikan kos sara hidup menyebabkan kehidupan ramai orang terjejas terutama mereka berpendapatan sederhana ke bawah dan golongan kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 8:03 AM