Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Lelaki kudung separuh badan antara 62 orang disyaki tokan dan penagih dicekup Agendi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di beberapa lokasi.

Pengarah (Pencegahan) AADK, Abdul Rahman Hamid, berkata operasi itu disertai anggotanya dari AADK Kota Star, Kubang Pasu, Padang Terap, Unit Anti Dadah Sempadan dan ibu pejabat.

Katanya, serbuan bermula pada 2.30 petang, Sabtu, hingga lewat tengah malam.

Beliau berkata, 67 individu ditahan dalam pemeriksaan di beberapa lokasi dan rumah yang disyaki di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, katanya, hanya 62 positif dadah termasuk seorang wanita berusia 21 tahun hasil ujian air kencing dilakukan terhadap mereka.

Lebih mengejutkan, katanya, mereka turut menahan lelaki kudung kedua-dua kaki berusia 42 tahun yang disyaki tokan dadah selain dua beradik disyaki penagih.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lelaki kudung itu dipercayai tokan dadah dan dikatakan mengedar dadah di kalangan penagih di kawasan itu.

"Ini berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mereka yang ditahan, namun apabila ditanya, dia (lelaki kudung) tidak mengaku melakukan kegiatan itu.

"Suspek dikatakan bermotosikal roda tiga untuk menghantar bekalan dadah dan kita menahannya untuk siasatan lanjut," katanya ditemui di salah satu lokasi serbuan di Tunjang, malam semalam.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan untuk membendung masalah penagihan dadah di daerah itu dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan penagih dadah di negara ini.

"Semua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 12:55 PM
Gambar kecil adalah lelaki kudung yang sedang ditemubual oleh wartawan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Gambar kecil adalah lelaki kudung yang sedang ditemubual oleh wartawan. FOTO Zuliaty Zulkiffli