Nurul Huda Kosnon


"SAYA hanya mahu membuat kelainan dalam majlis perkahwinan selain memang meminati ular sejak usia kanak-kanak.

"Penjinak ular itu juga adalah kawan yang saya sudah kenal lebih lima tahun lalu dan pengalamannya dalam menjinakkan ular memang meyakinkan saya berikutan dia banyak membuat persembahan di luar.”

Demikian kata Mohd Shakir Mokhtar, 27, yang video majlis perkahwinannya dengan isteri , Afni Syafikah Abd Manaf, 24, dimeriahkan dengan persembahan ular tedung selar pada 30 Julai lalu di sebuah dewan di Taman Medan, Petaling Jaya tular di laman sosial, sejak kelmarin.

Video berdurasi 1 minit 32 saat itu turut menarik perhatian pengguna laman sosial berkenaan yang rata-ratanya menyifatkan ular itu membahayakan keselamatan pengantin.

Menurut Mohd Shakir, dia tidak menyangka dan terkejut video yang diambil dan dimuat naik oleh seorang rakannya, Siti Noor Ain Ahmad Asri, 30, tular di laman sosial.

"Ular itu memang berbisa tapi isteri okay saja, ada juga perasaan takut tapi dia cuba lawan perasaan itu.

“Sebelum bersanding saya ada maklum kepadanya terlebih dahulu supaya dia (isteri) tidak panik," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya yang juga anggota tentera, persembahan itu dibuat oleh rakannya dikenali sebagai Bro Den dan kehebatannya dalam menjinakkan ular berbisa tak boleh dinafikan kerana dia memang berpengalaman.

"Disebabkan saya memang penggemar ular, saya mahu membuat sesuatu yang berbeza daripada mana-mana majlis perkahwinan.

“Saya mahu majlis perkahwinan itu menjadi saat yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Katanya , baginya persembahan ular seperti itu adalah perkara biasa.

"Saya faham ada dalam kalangan orang di luar sana yang meragui aspek keselamatan dan sebagainya namun bagi saya tak ada apalah.

"Saya juga pernah ikut Bro Den membuat persembahan menjinakkan ular tedung selar di ibu negara beberapa tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 11:38 PM
Persandingan Mohd Shakir dan Syafikah ‘dimeriahkan’ dengan persembahan tedung selar. FOTO ihsan Mohd Shakir
Persandingan Mohd Shakir dan Syafikah ‘dimeriahkan’ dengan persembahan tedung selar. FOTO ihsan Mohd Shakir