Syafiq bersama ular yang ditangkapnya (gambar kiri) serta kesan patukan ular pada tangannya (gambar kanan). FOTO Ihsan Pembaca
Syafiq bersama ular yang ditangkapnya (gambar kiri) serta kesan patukan ular pada tangannya (gambar kanan). FOTO Ihsan Pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PERNAH dipatuk ular tedung selar dan ular tedung senduk sehingga menyebabkannya terpaksa menerima rawatan di hospital malah lengan kanannya juga ‘terukir’ parut kesan gigitan ular sawa tiga tahun lalu.

Namun insiden itu tidak cukup membuatkan pekerja ladang, Syafiq Zulkifli, 23, berasa serik untuk terus ‘berkawan’ dengan reptilia berkenaan.

Menjadi penangkap dan penjinak ular sejak tujuh tahun lalu menjadikan anak kedua dari lima beradik itu menjadi ‘pilihan’ penduduk di sekitar Nenasi, Pekan setiap kali menyedari reptilia berbisa itu masuk ke kediaman mereka.

Katanya, minatnya terhadap ular bercambah apabila sering melihat pertunjukan ular yang sering diadakan di sekitar bandar itu selain melihat rakan-rakannya memelihara ular.

“Saya pada mulanya merahsiakan kegiatan ini daripada pengetahuan ibu sehinggalah saya dipatuk ular dan dimasukkan ke hospital barulah ibu tahu dan merestui minat saya.

“Saya tidak pernah mengikuti sebarang latihan secara formal, semuanya didorong minat yang mendalam mengenai haiwan itu…saya mempelajari cara untuk menjinakkan ular hanya menerusi Youtube saja,” katanya ditemui di rumahnya di Tanjung Batu, Nenasi.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan itu berkata, dia tidak mempunyai petua untuk menundukkan ular sebaliknya hanya mengawal emosi dan menjaga jarak antara reptilia itu bagi mengelakkannya berasa terancam serta menjadi agresif.

Dia yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Pekan berkata, jika ada aduan berkaitan kejadian ular memasuki rumah penduduk, dia dipanggil membantu pegawai dan anggota lain menangkapnya.

“Biasanya apabila tiba saya melihat jenis ular yang memasuki rumah sama ada berbisa atau pun tidak kerana pendekatan yang digunakan adalah berbeza.

“Sudah menjadi kelaziman saya untuk menangkap ular dengan tangan kosong saja tanpa sebarang peralatan... namun saya tetap membawa alat penjerut dan guni,” katanya.

Ditanya pengalaman menarik sepanjang menjadi penangkap ular, Syafiq berkata, dia pernah menangkap ular tedung selar lebih lima meter di sebuah kediaman di Air Putih, Kuantan.

Katanya, dia banyak belajar dengan bekas kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Mohd Sabron Jamil Kamaruddin yang sudah terkenal dengan kemahiran menangkap ular berbisa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:08 PM