Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) Mohd Fasiah (lima kiri) dan Noh (tiga kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sabak Bernam. FOTO Intan Nur Ellina Zakaria
Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) Mohd Fasiah (lima kiri) dan Noh (tiga kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sabak Bernam. FOTO Intan Nur Ellina Zakaria
Fuad Hadinata Yaacob


SELANGOR perlu dikembalikan semula kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) atau berdepan kemungkinan gagal dirampas selama-lamanya.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU-14 adalah peluang terakhir UMNO dan BN untuk merampas negeri itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan PRU-13.

"Hakikatnya kini Selangor sudah jadi milik orang.

"Ia juga boleh diibaratkan seperti perkahwinan yang ada tiga talak dan kini hanya tinggal satu talak.

"Ada dua jenis talak iaitu talak raji'e dan talak bain. Hanya talak raj'ie saja boleh dirujuk dengan syarat tertentu tetapi talak bain tidak boleh dirujuk," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Pelancaran Jentera PRU-14 BN bahagian hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar serta Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Selangor ‘dijatuhkan talak satu’ pada PRU-12 dan talak dua pada PRU-13.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu ‘talak tiga’ berlaku dalam PRU-14 nanti.

"Kita tak mahu ‘talak bain’ dan pada PRU-14 tolak talak tiga dan rampas semula Selangor.

"Saya harap Shah Alam dan Putrajaya ditautkan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 3:21 PM