PERSEMBAHAN persembahan kesenian dan budayaan menghiburkan tetamu di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017 di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Sembrong, Kluang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PERSEMBAHAN persembahan kesenian dan budayaan menghiburkan tetamu di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017 di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Sembrong, Kluang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein

LIMA ratus unit rumah mampu milik bakal dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh manakala 500 unit rumah lagi bagi generasi kedua FELDA di DUN Kahang, Parlimen Sembrong, Kluang, tahun depan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) di Stadium Mini Taman Sri Lambak dekat Kluang, malam tadi.

Beliau berkata, projek perumahan rumah mampu milik yang dimohon Parlimen Sembrong itu bakal diluluskan pada dua peringkat bermula dengan pembinaan 500 unit di DUN Paloh.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia  Aidilfitri 2017 di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Sembrong, Kluang. FOTO Mohd Azren Jamaludin

"Bagi pembinaan rumah bagi generasi kedua FELDA pula, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) memberitahu mereka bina di DUN Kahang," katanya.

Selain itu, dalam ucapannya juga, beliau turut mengumumkan kelulusan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menaik taraf Pondok Polis Taman Sri Lambak kepada balai polis.

Melihat sambutan kira-kira 30,000 rakyat yang memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) yang dihadirinya itu, Najib berkata, ia tanda sokongan yang diberikan rakyat sekali gus membuktikan kerajaan sedia ada satu kerajaan kuat dan kukuh.

SEBAHAGIAN tetamu di Rumah Terbuka Malaysia  Aidilfitri 2017 di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Sembrong, Kluang. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN tetamu di Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017 di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Sembrong, Kluang. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Jangan gadai masa depan kita dan jangan pilih orang yang bercelaru, tidak tahu siapa taukey, masing-masing ada jawatan dan tidak tahu siapa bosnya.

"Kita kena pilih sebuah parti yang kukuh yang mampu mentadbir negara.

"Kita ada kerajaan yang kukuh yang boleh kita bergantung harap, boleh bersandar dan boleh letak harapan dan kita perlu jaga dan pertahankan," katanya.

Terdahulu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba pada 8.50 malam disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut sama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Majlis yang julung kali diadakan mengikut Strategi Lautan Biro Kebangsaan (NBOS) bersama MINDEF dan ATM itu turut dimeriahkan dengan pameran pada mini karnival yang berlangsung sejak 13 Julai lalu.

20,000 orang membanjiri mini karnival yang turut mempamerkan 20 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain persembahan seni ketenteraan.

Acara kemuncak MRTM yang berlangsung malam tadi turut dihiburkan dengan persembahan seni dan kebudayaan oleh artis terkenal tanah air seperti Datuk DJ Dave, Ramlah Ram dan Noraniza Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 1:20 AM