Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Cabaran dan kekangan ketika penularan Covid-19 menjejaskan pelbagai perancangan untuk sambutan Hari Seniman hari ini.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, ia membuatkan banyak perkara tertangguh dan mereka tak boleh melakukan apa yang dirancang.

Dalam pada itu, kurang sokongan daripada kerajaan ketika ini juga membuatkan antara faktor sambutan Hari Seniman semakin tenggelam.

"Dalam situasi ekonomi ketika ini, kami tiada dana atau penaja. Kalau nak buat secara kecil-kecilan atau secara maya, ia tidak mendapat sambutan yang kita harapkan. Jadi, rasanya cukuplah sekadar dengan ucapan yang dibuat.

"Insya-Allah kalau keadaan semakin baik dan penularan Covid-19 semakin reda, untuk tahun berikutnya dengan penajaan dan sokongan agensi kerajaan, kita boleh raikan Hari Seniman seperti tahun sebelum ini," katanya.

Zed berkata, Seniman tidak pernah lupa untuk meraikan Hari Seniman yang disambut pada 29 Mei setiap tahun.

Apatah lagi cadangan untuk mengadakan Hari Seniman dibuat bekas presiden Seniman sebelum ini iaitu Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.

Selain itu, Hari Seniman diwujudkan bagi memperingati kematian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 29 Mei 1973 yang kini mencecah 48 tahun.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, Hari Seniman wajar diingati semua pihak kerana negara sudah 48 tahun kehilangan seorang Seniman Agung.

"P Ramlee juga seorang genius yang menghiburkan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun dengan filem-filem dan idea-ideanya yang cukup menarik dan buat semua rakyat Malaysia ketawa serta terhibur.

"Saya akui dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tak dapat buat apa-apa program, tapi saya harap masyarakat kenang jasa beliau kepada negara dengan karya-karyanya yang menarik.

"Saya harap kerajaan ambil langkah bantu penggiat seni supaya apa yang berlaku takkan berulang, di mana seorang Seniman Agung meninggal dunia dalam keadaan kurang memuaskan," katanya.

Menurutnya, selepas 48 tahun pemergian P Ramlee, tiada apa-apa yang berubah dalam industri hiburan tanah air.

"Nampak makin kucar-kacir apabila royalti pun tidak dibayar. Begitu juga filem pun tak begitu teratur apabila banyak yang rugi di pawagam.

"Apa langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini? Setakat cakap nak pergi Oscar sahaja tak cukup. Kena ada satu pelan yang menyatu-padukan semua penggiat seni untuk bekerjasama dan tidak seperti sekarang di mana semua bertelagah antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah berkata, dia pernah terbabit menjayakan persembahan penghargaan kepada P Ramlee beberapa tahun lalu.

"Ketika itu sambutannya boleh dikatakan meriah. Sekarang memang tiada apa-apa boleh dibuat kerana PKP. Ikutkan sepatutnya pihak berkenaan boleh buat satu program sempena kematian P Ramlee dan Hari Seniman.

"Apapun saya faham keadaan sekarang amat sukar untuk semua pihak melakukan sesuatu," katanya.

Pada 29 Mei 2008, Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengiktiraf 29 Mei sebagai Hari Seniman supaya dapat memberi inspirasi pada seniman tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 6:07 PM