Suspek  ditahan anggota SPRM Johor. FOTO ihsan SPRM
Suspek ditahan anggota SPRM Johor. FOTO ihsan SPRM
Ibrahim Isa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulaijaya kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk kepentingan sendiri.

Sumber berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor kira-kira 1 tengah hari, hari ini, apabila hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan ke atas dirinya.

Menurut sumber, suspek menganugerahkan beberapa projek kerja memotong rumput dan pembersihan di beberapa lokasi dalam daerah Kulaijaya kepada abangnya.

Siasatan awal mendapati keseluruhan projek dianugerahkan itu bernilai hampir RM20,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan berkata, lelaki berkenaan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Johor Bahru, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 4:46 PM