GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Junita Mat Rasid


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan pengarah urusan bergelar Datuk dan enam pegawai eksekutif syarikat swasta untuk membantu siasatan berhubung siasatan berkaitan tuntutan palsu penyelenggaraan jalan.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penyelenggaraan jalan kampung di Johor dari 2014 hingga sekarang, sedangkan kerja terbabit tidak dilaksanakan.

Jumlah kos penyelenggaraan membabitkan sebanyak RM50 juta sehingga RM70 juta setahun dan anggaran tuntutan palsu bagi tahun ini berjumlah RM2 juta, manakala jumlah tuntutan palsu bagi tahun sebelumnya masih dalam siasatan SPRM.

Lima suspek lelaki dan dua wanita berusia 30-an hingga 60-an dari syarikat sama ditahan di pejabat SPRM Johor jam 9 malam semalam bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut sumber, siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktikan syarikat lain yang terbabit di sebalik tuntutan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias yang mengesahkan penahanan suspek, berkata tiga suspek direman enam hari sehingga Ahad ini, manakala tiga lagi suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes itu membabitkan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan kampung yang sepatutnya menjadi kepentingan masyarakat luar bandar.

Katanya, anggaran keseluruhan wang tunai yang disita melebihi RM800,000 dan tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan ke atas individu lain.

“SPRM tidak berkompromi dengan tindakan kakitangan syarikat terbabit yang membelakangkan kepentingan awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 7:26 PM