Anggota APMM Wilayah Timur  membawa mangsa yang cedera menaiki kapal selepas menerima panggilan kecemasan dari Klinik Kesihatan Pulau Tioman. FOTO ihsan APMM WILAYAH TIMUR
Anggota APMM Wilayah Timur membawa mangsa yang cedera menaiki kapal selepas menerima panggilan kecemasan dari Klinik Kesihatan Pulau Tioman. FOTO ihsan APMM WILAYAH TIMUR
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI berusia 30-an cedera di leher dipercayai diserang lelaki warga Kemboja yang bersenjatakan parang ketika menangkap ikan berhampiran Pulau Pemanggil, Mersing, Johor, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa dan seorang lagi lelaki berada dalam satu bot yang sama bersama suspek sebelum diserang.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, ketiga-tiga mereka keluar menangkap ikan di lokasi berkenaan pada jam 8 pagi sebelum kira-kira 4 petang, suspek memegang sebilah parang dan mencederakan mangsa di bahagian lehernya.

"Akibat kejadian itu, kedua-dua lelaki termasuk mangsa bertindak melompat dari bot bagi menyelamatkan diri.

"Suspek pula bertindak meninggalkan kedua-dua mangsa di laut sebelum mereka diselamatkan nelayan lain," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Pulau Pemanggil dan seterusnya ke Pulau Tioman untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa stabil, namun masih ditahan di wad untuk rawatan susulan.

Beliau berkata, suspek berusia 30-an sudah dikenal pasti dan usaha mengesan serta menahannya sedang giat dijalankan.

"Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Timur (WILTIM) dalam satu kenyataan media memaklumkan mereka memberi bantuan 'Medical Evacuation' (MEDEVAC) ke atas mangsa.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee berkata, Pusat Operasi WILTIM menerima panggilan telefon daripada Klinik Kesihatan Pulau Tioman kira-kira 9.20 malam bagi mendapatkan bantuan kapal untuk membawa seorang mangsa yang dipercayai dikelar ke hospital.

"Mangsa yang dipercayai berasal dari Terengganu dan juga seorang nelayan cedera parah akibat dikelar di bahagian kiri leher dan memerlukan rawatan segera di hospital di Rompin.

"Kita menugaskan Bot Penggalang 14 untuk membawa mangsa dari Pulau Tioman ke Tanjung Gemuk dan kita tiba di jeti Pos Hadapan APMM Tanjung Gemuk kira-kira 3.30 pagi," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Rompin sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang.

Pada masa sama, beliau berkata, aset APMM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tidak mengira waktu sekiranya berlaku kes kecemasan seumpama itu.

"Orang ramai boleh menghubungi terus Pusat Operasi WILTIM yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui talian MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 6:58 PM