Alan (baju hijau) yang ditemui selamat selepas tersesat di Gunung Tambuyukon. FOTO ihsan Taman-Taman Sabah
Alan (baju hijau) yang ditemui selamat selepas tersesat di Gunung Tambuyukon. FOTO ihsan Taman-Taman Sabah
Cleo Will

PENDAKI lelaki yang hilang ketika mendaki di Gunung Tambuyukon, Ranau, petang semalam ditemui selamat pada 6.15 petang hari ini.

Alan Chong Yun Kiong, 31, ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di satu lokasi di Sungai Kopuakan dekat satu lokasi dikenali sebagai Stesen monggis.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau, Jimmy Lagung berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat walaupun sedikit keletihan.

"Mangsa ditemui tidak jauh dari Stesen Monggis di daerah Kota Marudu.

"Difahamkan, selepas setelah tersesat jalan, mangsa mengambil keputusan mencari sungai terdekat lalu mengikuti aliran sungai ke hilir, sebelum terserempak dengan pasukan SAR," katanya.

Jimmy berkata, mangsa dalam keadaan selamat dan sudah dibawa ke Kota Kinabalu untuk pulang ke rumahnya.

Sehubungan itu katanya, operasi SAR yang disertai 48 orang daripada pelbagai agensi ditamatkan pada 7 malam hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mangsa mendaki gunung itu bersama tiga rakannya sebelum lelaki itu dilaporkan hilang dikhuatiri tersesat, pada petang Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 10:33 PM