MENIKMATI panorama matahari terbit di Rock Garden. FOTO Rosmah Abd Hamid
MENIKMATI panorama matahari terbit di Rock Garden. FOTO Rosmah Abd Hamid
Rosmah Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my


GUNUNG Tambuyukon adalah gunung ketiga tertinggi di Malaysia. Gunung yang terletak di penjuru tiga daerah iaitu Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud, Sabah ini sememangnya terkenal.

Apatah lagi keindahan hutannya, trek masih 'suci' kerana tidak banyak pendakian dilakukan di sini selain pacat yang sentiasa rakus mencari mangsa.

Berketinggian kira-kira 2,579 meter dari paras laut, tidak salah sekiranya penulis mengatakan yang gunung ini salah satu gunung paling mencabar untuk didaki di Malaysia.

Pada tahun 2019 lalu, penulis berasal dari Tawau berpeluang untuk mendaki gunung ini. Untuk mendaki Gunung Tambuyukon, ketua kumpulan hendaklah membuat tempahan awal dan memohon permit daripada pihak Sabah Parks. Hanya sembilan peserta dibenarkan mendaki dalam satu tempoh pendakian.

Penulis dan lapan orang lagi peserta yang berasal dari Tawau, Kunak, Sandakan dan Semenanjung datang awal sehari sebelum perjalanan pendakian serta menetap di Kundasang untuk memudahkan proses pendaftaran di Kinabalu Park pada keesokan harinya.

Selesai urusan pendaftaran, kami terus berangkat ke Sub Stesen Monggis yang terletak di Kampung Monggis kira-kira 30 kilometer (km) dari pekan Ranau.

Beg agak berat kali ini berbanding pendakian ke gunung lain kerana tempoh perjalanan yang lebih lama, jumlah bekalan makanan lebih banyak dan ketiadaan kemudahan di kawasan kem, kami terpaksa membawa lebih banyak peralatan untuk memasak serta khemah lengkap dengan 'sleeping bag.'

Seramai sembilan peserta iaitu tujuh lelaki dan dua perempuan selain empat malim gunung serta dua 'porter' melakukan pendakian ini selama empat hari tiga malam.

LALUAN menurun yang mencabar. FOTO Rosmah Abd Hamid
LALUAN menurun yang mencabar. FOTO Rosmah Abd Hamid

Pendakian dimulakan pada jam 1 tengah hari. Meskipun trek agak landai pada kilometer dua (KM2) ke KM4, cuaca yang panas dan trek yang semakin menaik membuatkan penulis berfikir-fikir 'kenapalah mencari penyakit sedangkan boleh duduk elok di rumah!'

Namun kerana tekad mahu menawan gunung yang paling mencabar di Sabah ini, penulis kuatkan mental dan gagahkan langkah walaupun kaki kejang beberapa kali.

Syukur akhirnya penulis dan rakan-rakan berjaya tiba ke Kem Kepuakan di KM8 pada jam 6 petang. Hilang segala penat lelah kami sebaik melihat keindahan Sungai Kepuakan yang mengalir di depan mata dengan pokok-pokok yang tinggi.

Sampai ke hari ini penulis masih tak dapat melupakan pemandangan di Kem Kepuakan itu. Ternyata Sungai Kepuakan lebih indah pada esok paginya. Tapi kami harus berkemas dan menyambung pendakian kami ke Kem Musang. Ia trek lebih kejam berbanding semalam.

Jarak pendakian hanyalah dua kilometer tetapi dengan ketinggian kira-kira 500 meter, kami mengambil masa selama empat jam untuk sampai.

Ternyata kawasan Kem Musang yang terletak di kawasan permatang ini tidak kurang hebatnya.

Di sini kami dapat berehat lebih lama dan menikmati ketenangan alam di hutan. Cucur goreng bilis menjadi hidangan minum petang.

BEREHAT di Kem Musang. FOTO Rosmah Abd Hamid
BEREHAT di Kem Musang. FOTO Rosmah Abd Hamid

Kami tidur awal pada hari itu kerana akan memulakan pendakian ke puncak pada tengah malam nanti. Hujan gerimis menemani kami pada malam itu. Jam 1 pagi, kami memulakan pendakian ke puncak Tambuyukon.

Kira-kira empat kilometer lagi perjalanan cuaca yang sejuk dan berkabus serta pendakian melalui akar-akar pokok yang tinggi lagi licin menyukarkan lagi pendakian kami.

Penulis mendaki dengan lebih berhati-hati kerana tidak mahu tersilap langkah memijak akar yang licin kerana lumut apatah lagi hujan pada malam tadi.

Baju dua lapis dan baju sejuk tidak cukup menahan rasa dingin waktu itu. Kami tiba di kawasan Rock Garden sekitar jam 4.30 pagi sementara malim mencadangkan kami rehat di sebalik batu-batu besar untuk berlindung dari angin kerana kawasan itu agak terbuka.

Menurut malim, kawasan Rock Garden adalah tempat terbaik untuk menyaksikan matahari terbit. Sejam kami menunggu dalam kesejukan, akhirnya fajar yang ditunggu pun tiba. Puas!

Perasaan sayu mula hadir, 'esok-esok tiada lagi pemandangan ini.' Kami bergambar sepuas-puasnya walaupun terlalu dingin ketika itu.

Perjalanan diteruskan pada jam 6 pagi, berbaki satu kilometer lebih lagi. Kali ini memanjat batu-batu besar melintasi pokok-pokok renek bonsai yang sekali sekala memukul kaki.

Akhirnya kami sampai ke papan tanda puncak Tambuyukon pada jam 7 pagi.

Penulis dikejutkan sekali lagi dengan pemandangan yang terlalu indah. Gunung Kinabalu terbentang luas di depan.

Terasa betapa kerdilnya diri ini apabila melihat puncak Gunung Kinabalu yang betul-betul ada di depan mata. Ibarat seluas-luas pemandangan di depan adalah dinding-dinding batu Gunung Kinabalu. Hanya mampu bersyukur dengan rezeki yang diberikan Tuhan ini.

Cuaca yang sejuk dan berangin membuatkan kami tidak dapat lama di atas puncak. Selepas selesai bergambar, kami teruskan perjalanan turun ke Kem Musang. Betullah kata orang, kalau mendaki itu mencabar, turun pasti lagi mencabar.

Paling nyata, pemandangan taman bonsai ketika turun sangatlah menggamit mata. Tiba di Kem Musang, kami berkemas-kemas dan meneruskan perjalanan ke Kem Kepuakan. Di situ kami bermalam buat kali terakhir sebelum turun ke Sub Stesen Monggis keesokan paginya.

Pengalaman mendaki Gunung Tambuyukon memang tidak akan penulis lupakan. Malah semakin rindu. Penulis hanya mampu berdoa semoga pandemik Covid-19 semakin reda dan berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Gunung Tambuyukon lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:15 AM