SEBAHAGIAN  penagih yang ditahan di FELCRA Sri Makmur, Gugusan FELDA Chini,  kelmarin.
SEBAHAGIAN penagih yang ditahan di FELCRA Sri Makmur, Gugusan FELDA Chini, kelmarin.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Pekan: Seorang pengedar dadah yang aktif menjual pelbagai jenis dadah kepada pelajar ditahan dalam Operasi Cegah Perdana dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang, kelmarin.

Lebih mengejutkan lelaki berusia 18 tahun itu turut mengaku menjadi pembekal kecil-kecilan bahan terlarang berkenaan kepada rakannya sejak di bangku sekolah sebelum ditahan di FELCRA Sri Makmur, Gugusan FELDA Chini, di sini.

Lelaki hanya dikenali sebagai Joe mengaku terbabit dalam gejala penagihan dan pengedaran pelbagai jenis dadah seperti ganja serta heroin sejak tahun lalu sebelum aktif menjadi tokan selepas tamat persekolahan.

Katanya, dia sering berurusan dengan pelajar sekolah menengah seawal usia 15 tahun yang juga rakannya bagi mendapatkan bekalan dadah dijual pada harga RM50.

“Budak sekolah di sini semua kawan saya juga, mereka kenal saya jadi senang nak berurusan dengan mereka.

“Kalau mereka nak barang (dadah) mereka ‘call’ je dan kami ‘setting’ tempat untuk jumpa kat mana-mana,” katanya ketika ditemu bual selepas ditahan pegawai dan anggota AADK Pahang.

Lelaki itu tidak mendedahkan sumber bekalan dadah diperolehnya dan hanya memberitahu ia diterima daripada rakan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pahang Rizal Seat berkata, 79 penagih ditahan dalam operasi besar-besaran dilakukan pihaknya bermula jam 2 pagi berakhir jam 5 petang itu.

Katanya, operasi turut dijalankan di sekitar Kuala Pahang, di sini, disertai Pengarah AADK Pahang Abdul Ghani Abdul Rahman bersama 60 pegawai dan anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 5:04 AM