Warga emas berusia 64 tahun yang mendakwa mempunyai lima cucu (kanan) antara yang ditahan dalam operasi oleh AADK, petang tadi. FOTO Nabihah Kamal
Warga emas berusia 64 tahun yang mendakwa mempunyai lima cucu (kanan) antara yang ditahan dalam operasi oleh AADK, petang tadi. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas berusia 64 tahun menggunakan alasan mencari motosikalnya yang hilang di kawasan belukar berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak, di sini, namun akhirnya mengaku mahu menghisap dadah di kawasan itu selepas disoal siasat, petang tadi.

Dia antara enam penagih dadah yang ditahan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bermula 12 tengah hari tadi.

Lelaki yang mendakwa mempunyai lima cucu itu mengakui sukar berhenti menghisap dadah, malah sudah lali ditangkap.

"Saya akan datang ke sini tiga kali sehari untuk mendapatkan 'ubat' (dadah) sebagai tenaga.

"Ditahan polis dan AADK adalah perkara biasa. Lebih empat kali saya keluar masuk pusat serenti. Saya cuba berhenti, tapi ini aktiviti harian yang saya tidak boleh elak walaupun sudah mempunyai keluarga," katanya.

Penolong Pengarah Siasatan dan Pendakwaan AADK Nik Muhammad Nik Dir berkata, dalam operasi selama tiga jam oleh 10 anggota penguat kuasa AADK itu, enam penagih berusia 30-an hingga 64 tahun yang menjadikan kawasan belukar itu sebagai ‘port’ menagih dadah sejak dua bulan lalu ditahan.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan dibawa ke pejabat AADK di Serendah untuk diberi kaunseling dan rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:44 PM