Oleh Syazwan Msar

Pekan: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca dinaiki bersama seorang lagi rakan karam di Sungai Pahang dekat Kampung Pulau Jawa, berhampiran Jeti Kuala Pahang, di sini, kira-kira 6 petang ini.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Zuhair Sulong, 42, dari Kampung Pulau Jawa dan Azizul Mohd Ali, 28, daripada Taman Mawar, Kampung Marhom.

Kejadian berlaku apabila tiga rakan itu mahu mengambil kelapa di Kampung Jawa, dekat sini, namun ketika perjalanan pulang bot yang dinaiki mereka tenggelam dipercayai terlebih muatan.

Pegawai Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Zulkifli Wan Mohamed, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.15 petang.

“Lapan anggota bomba termasuk unit penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan di kerahkan ke tempat kejadian. Sehingga 10 malam, mangsa masih belum ditemui manakala seorang rakan mereka, Said Harun, 31, juga dari Kampung Pulau Jawa terselamat apabila bertindak berenang ke darat," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 10:27 PM