Anggota AADK memeriksa penghuni flat kos rendah Pak Mahat, Tanjung Lumpur, bagi mengesan penagih dadah, hari ini. - Foto ZULKEPLI OSMAN
Anggota AADK memeriksa penghuni flat kos rendah Pak Mahat, Tanjung Lumpur, bagi mengesan penagih dadah, hari ini. - Foto ZULKEPLI OSMAN

Kuantan: Seorang lelaki memberi alasan tidak masuk akal apabila menyatakan isterinya yang sedang hamil tujuh bulan didapati positif dadah kerana terhidu asap dihembuskannya dan isterinya itu bukan penagih dadah ketika Ops Gempur oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang, hari ini.

Lelaki berkenaan serta isterinya itu antara 35 ditahan dalam operasi berkenaan di tiga kawasan di sini, bermula awal pagi hingga tengah hari tadi.

Penolong Pengarah AADK Pahang Wan Maisara Wan Abu Mansor berkata dalam operasi bermula 1 pagi tadi hingga 12 tengah hari itu, 45 anggota melakukan pemeriksaan di tiga kawasan tumpuan penagih iaitu Kompleks Perumahan Pak Mahat, Tanjung Lumpur dan sekitar perkampungan Balok.

"Seramai 62 orang diperiksa dengan 35 didapati positif dadah. Semua 33 lelaki dan dua wanita yang positif itu berumur antara 16 hingga 52 tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Maisara berkata berdasarkan statistik, jumlah penagih dadah di Pahang ialah 5,580 orang membabitkan 4,072 penagih baru manakala 1,508 penagih berulang dari Januari hingga semalam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:59 PM