Zaiton bersama dua daripada tiga anaknya di hadapan rumah mereka.
Zaiton bersama dua daripada tiga anaknya di hadapan rumah mereka.
Muhaamad Hafis Nawawi


Jitra: Akibat tiada tempat berteduh selepas ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu, seorang wanita bersama tiga anak perempuannya terpaksa memperjudikan nyawa tinggal di rumah pusaka arwah bapanya yang hampir roboh di Kampung Padang Luar, Jalan Wang Tepus, di sini.

Lebih menyedihkan rumah itu tiada tandas dan bilik mandi sementara bahagian atas rumah dimamah anai-anai.

Rumah itu sepatutnya sudah dirobohkan ahli keluarganya kerana terlalu daif, namun kini menjadi tempat empat beranak itu berteduh.

Zaiton Othman, 30, berkata, dia menetap di rumah pusaka arwah bapanya sejak dua tahun lalu selepas suaminya menghilangkan diri dan tidak pulang melihatnya bersama tiga anak perempuan berusia dua hingga sembilan tahun.

Menurutnya, bagi mencari wang menyara keluarga dia pernah menjual ulam sebelum diterima bekerja sebagai pembantu kantin di sekolah dengan pendapatan RM30 sehari.

“Mujur kakak saya banyak membantu keperluan kami dan membaiki bumbung rumah yang bocor,” katanya.

Zaiton berkata, bekalan elektrik juga ditarik dari rumah kakaknya yang banyak membantu termasuk memberi wang persekolahan dua anak perempuan saya Nursyasya Zahirah Mohd Fauzi, 9, dan Putri Syazana Fakira, 6, sementara anak bongsu Zara Dhia Aisyah, 2, turut dibantu kakak dari segi susu dan lampin pakai buang.

“Sebelum ini kakak bekerja sebagai penjual kereta namun sejak emak kami (Hamisah Pen,66), jatuh sakit beberapa bulan lalu dia berhenti kerja.

“Saya kini berhenti kerja sebagai pembantu kantin sementara menunggu majikan memanggil semula selepas tidak beroperasi kerana atas beberapa masalah,” katanya.

Katanya, disebabkan itu dia menjual ulam-ulaman semula dengan pendapatan sekitar RM10 bagi menyara kehidupan.

“Mujur bantuan makanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah dan bantuan wang tunai RM250 yang mula diterima bulan ini daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dapat meringankan sedikit beban,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan di akaun RHB 1021260005111 atau menghubunginya di talian 01121842903.

caption pada foto

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:17 AM