MAS Imran menyampaikan sumbangan kepada S Ravi sekeluarga. FOTO Mary Victoria Dass.
MAS Imran menyampaikan sumbangan kepada S Ravi sekeluarga. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Saya bangkit semula selepas bergelar muflis, walaupun hanya bekerja sebagai penghantar barang, tetapi saya bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga," kata S Ravi, 50.

Ravi berkata, dia yang bekerja di Singapura hilang pekerjaan tiga tahun mengakibatkan keluarganya mengalami masalah kewangan serta gagal membayar pinjaman rumah.

"Kami hilang rumah keluarga di Johor Bahru sebelum diisytihar muflis.

"Namun, ia tidak mematahkan semangat dan saya nekad menjadi penghantar barang, manakala isteri bekerja sebagai guru tadika selepas lebih 10 tahun bergelar suri rumah," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai RM500 dan barangan dapur di rumahnya, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam.

Ravi berkata, anak keduanya, Dineshwaran, 19, adalah autisme dan dia bergilir-gilir dengan isteri untuk menjaganya, selain menanggung persekolahan anak bongsunya, Ashwin, 16.

"Pendapatan harian saya adalah antara RM50 hingga RM60 dan ia digunakan bagi membeli barangan keperluan dapur.

"Sementara, pendapatan isterinya digunakan bagi menampung kos sewa rumah dan persekolahan anak.

"Berikutan kewangan yang terhad, saya juga masih gagal membaiki motosikal yang digunakan bagi mencari rezeki," katanya yang terpaksa menghantar pesanan ke lokasi terdekat sahaja kerana motosikal sering rosak.

Sementara itu, Mas Imran berkata, selain memberi sumbangan, pihaknya turut menawarkan peluang pekerjaan sebagai pekerja am kepada Ravi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 5:45 PM