INDUSTRI aeroangkasa menawarkan banyak peluang untuk pemindahan teknologi terkini dalam kejuruteraan, elektronik dan sebagainya.
INDUSTRI aeroangkasa menawarkan banyak peluang untuk pemindahan teknologi terkini dalam kejuruteraan, elektronik dan sebagainya.
Hamizah Badiran


Program khas SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka industri aeroangkasa berjaya menjangkau jangkaan apabila pendapatan PKS untuk 2016 meningkat hampir sekali ganda daripada sasaran awal selain menghampiri sasaran pendapatan 2017 seawal Februari lalu.

10 PKS perintis dalam program itu memperoleh RM9.84 juta keuntungan pada 2016, melebihi sasaran RM5.4 juta (satu peratus daripada jumlah hasil industri).

Sehingga Februari 2017, jumlah jangkaan pendapatan keseluruhan daripada kumpulan perintis itu mencecah RM20.01 juta dan menghampiri sasaran awalnya iaitu RM24.6 juta (dua peratus daripada jumlah hasil industri).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr Hafsah Hashim berkata, keputusan itu adalah hasil daripada program yang direka dengan teliti untuk membentuk PKS di bawah Projek Permulaan Kelapan (EPP8) di bawah NKEA Perkhidmatan Perniagaan iaitu Membangunkan PKS dalam Industri Pembuatan Aeroangkasa Global.

“Kami sudah berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan untuk PKS dan menunjukkan pendekatan yang berstruktur agar mendapat hasil yang cemerlang,” katanya.

Kumpulan 10 PKS perintis itu dipilih daripada 23 PKS yang dilihat mempunyai keupayaan dalam industri pembuatan aeroangkasa.

Antara mereka terdapat syarikat yang membuat alat ganti automotif dan peralatan perubatan selain mahu menonjolkan diri dalam bidang berkenaan.

Kumpulan perintis ini kemudian akan mengikuti proses intensif dalam usaha mendapatkan pensijilan dan juga menaik taraf peralatan pembuatan mereka serta sebagainya bagi menjadi pembekal komponen aeroangkasa.

Mereka juga dibawa ke United Kingdom (UK) selama 10 hari untuk mengetahui lebih lanjut mengenai industri aeroangkasa.

Aktiviti di sana termasuk lawatan ke Pusat Pengurusan dan Pembangunan Cranfield di Universiti Cranfield di mana mereka mempelajari keperluan utama yang diperlukan untuk menjadi peneraju dalam industri aeroangkasa.

Selain itu, mereka turut berkesempatan berjumpa dengan beberapa syarikat aeroangkasa di Malaysia seperti Spirit Aerosystems Malaysia, UMW Aerospace dan CTRM.

Menurut Datuk Dr Hafsah, SME Corp memfokuskan tiga teras utama dalam program memperkasakan PKS berkenaan.

Ia terdiri daripada strategi pemasaran, transformasi organisasi dan perancangan teknologi.

Kemajuan dan prestasi mereka dipantau oleh rakan perunding SME Corp, BDEC Resources Malaysia Sdn Bhd yang akan memastikan PKS terlibat kekal di landasan yang betul.

Kesemua PKS itu menerima geran setara dengan nilai maksimum RM500,000.

“Kita perlu memastikan bahawa PKS itu sendiri benar-benar ingin berjaya dengan mengikuti program ini,” katanya yang menyatakan faktor bajet merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi pihaknya ketika mahu memulakan program berkenaan.

Selepas kejayaan diraih kumpulan perintis itu, SME Corp bersedia mengambil kumpulan seterusnya bermula April 2017.

Sebagai persediaan masa hadapan, Datuk Dr Hafsah menegaskan bahawa PKS perlu bersedia dengan trend akan datang termasuk penggunaan robotik, automasi dan e-perolehan.

“Saya yakin dengan kebolehan, ketangkasan dan keyakinan mereka. Mereka pasti boleh berjaya dan cepat menyesuaikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 4:17 AM