HAMIM (tengah) bersama   Mohamed Al Amin   dan   Hafsah    merasmikan TUBE 2.0,    semalam.
HAMIM (tengah) bersama Mohamed Al Amin dan Hafsah merasmikan TUBE 2.0, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: SME Corp Malaysia (SME Corp) akan mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) untuk merangsang perniagaan dalam sektor e-dagang dalam kalangan 500 usahawan belia yang menyertai program berkenaan tahun ini.

TUBE 2015 dinamakan sebagai TUBE 2.0 kali kedua diadakan dan menerima peruntukan RM10 juta daripada kerajaan bagi membangunkan usahawan dalam kalangan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hamim Samuri berkata, 448 peserta Bumiputera menyertai program itu tahun lalu dan 440 peserta atau 98.2 peratus daripada mereka mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata, menerusi angka penyertaan tahun lalu, 80 peratus peserta menyertai sektor perkhidmatan, 13 peratus pembuatan dan pertanian (tujuh peratus).

“Memandangkan sektor perkhidmatan paling mendapat banyak penyertaan, kami ingin menggalakkan usahawan muda menyertai perniagaan atas talian atau e-dagang memandangkan pasarannya semakin meluas dan membantu mereka mendapat capaian dagangan dengan mudah.

“Ini kerana sebelum ini, kebanyakan sektor perkhidmatan diceburi belia yang menyertai TUBE antaranya restoran dan menjahit. Kita mahukan usahawan TUBE 2.0 lebih terbuka dengan sektor perkhidmatan terkini iaitu e-dagang,” katanya selepas merasmikan TUBE 2.0 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 6:29 AM