Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) berada di landasan tepat untuk membantu mencapai sasaran sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus menjelang 2025.

Sasaran itu juga dijangka dapat dicapai melalui kerjasama antara SME Corp dan MTDC menerusi program Transforming SMEs into Exporters (TSMEX) yang akan diperkenalkan untuk menyokong dan menyediakan lebih banyak PKS tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara melalui pengeksportan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, melalui inisiatif TSMEX itu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diberi latihan, bimbingan serta mendapat manfaat daripada pengetahuan, kepakaran dan pengalaman MTDC dalam teknologi.

Katanya, untuk permulaan kerjasama itu akan memberi bimbingan kepada antara 30 ke 60 syarikat PKS yang berkelayakan menembusi pasaran luar negara.

"Di bawah SME Corp iaitu Program PKS Lestari, kami sudah mempunyai sebanyak 300 syarikat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

"Namun, melalui kerjasama dengan MTDC kami sasarkan 10 ke 20 peratus daripada 300 PKS diberi bimbingan untuk memberi nilai tambah kepada sumbangan eksport negara.

"Kalau kita lihat dari segi PKS yang mengeksport sekarang nilainya hanya 10.5 peratus kepada KDNK dalam RM144 bilion dan mengikut tinjauan kami pada awal tahun, hanya 15 peratus daripada keseluruhan PKS mengeksport yang kebanyakannya daripada sektor pembuatan.

"Jadi kita nak tingkatkan lagi bilangan PKS yang mengeksport dan kerjasama ini menandakan satu langkah penting kerana perkongsian strategik ini bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak untuk mewujudkan rangkaian usahawan yang mampu mengakses kepada teknologi.

"Ini sekali gus membantu PKS mengharungi cabaran, mengembangkan jangkauan pasaran mereka melalui eksport dan tidak hanya menjadi 'jaguh' dalam pasaran domestik," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MTDC dan SME Corp di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Ts Mohammad Hazani Hassan.

Sementara itu, Mohammad berkata, MoU dengan SME Corp ini akan mengukuhkan lagi kerjasama mereka dan memanfaatkan kepakaran MTDC dalam memupuk dan menyokong perusahaan yang dipacu teknologi.

"Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, kami boleh menyediakan platform yang teguh untuk PKS berkembang maju dalam pasaran yang sentiasa berubah dan menyediakan PKS tempatan kita peluang eksport," katanya.

Program TSMEX akan disusun dan dilaksanakan oleh akademi latihan MTDC, Technopreneur Training Academy (Tentra) yang akan dimulakan dengan program latihan tujuh hari untuk 300 syarikat.

PKS ini akan memperoleh pengetahuan berguna dan pemahaman yang mendalam mengenai proses dan amalan pengeksportan terbaik.

Selepas tamat latihan tujuh hari, kira-kira 30 ke 60 PKS berpotensi akan dipilih dengan teliti oleh MTDC dan SME Corp untuk didaftarkan dalam program intensif tiga bulan, di mana mereka akan dilatih oleh pakar industri dan profesional untuk membantu mereka membangunkan rancangan dan strategi eksport.

Kriteria pemilihan PKS untuk menyertai program TSMEX adalah syarikat yang sudah beroperasi lebih enam bulan, berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia), mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus pemilikan ekuiti Malaysia dan mempunyai perolehan jualan tahunan minimum RM300,000.

Program ini akan bermula pada Januari 2024 dengan peserta terpilih, diikuti dengan sesi latihan dan dijangka berakhir pada September 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:05 AM