PENGERUSI SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin (tiga dari kiri) pada pelancaran  Anugerah 50 Perusahaan (E50). Turut sama, Hafsah  (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad, Shareen Ooi (tiga dari kanan).
PENGERUSI SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin (tiga dari kiri) pada pelancaran Anugerah 50 Perusahaan (E50). Turut sama, Hafsah (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad, Shareen Ooi (tiga dari kanan).
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpu: SME Corp Malaysia (SME Corp) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang mempersiapkan kira-kira 500 pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke arah pengggunaan platform digital pada November ini.

Langkah itu bertujuan mengalakkan PKS tempatan menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilaksanakan pada tahun ini yang turut diisytiharkan sebagai tahun ekonomi digital negara.

Ketua Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, pihaknya mewujudkan Akademi Program Latihan Atas Talian bagi mempersiapkan PKS tempatan ke arah ekonomi digital yang lebih agresif.

Beliau berkata, dalam satu tinjauan dilaksanakan SME Corp, ketika ini terdapat kira-kira 22 peratus PKS yang menjalankan perniagaan mereka menggunakan platform digital terutama membabitkan e-dagang.

“Program dilaksanakan SME Corp untuk ekonomi digital itu dapat membantu mempercepatkan sasaran 50 peratus PKS tempatan untuk beralih kepada ekonomi digital menjelang 2020.

“Selain itu, SME Corp turut membabitkan beberapa pemain industri ekonomi digital yang berjaya seperti 11street dan Lazada bagi melaksanakan program bimbingan kepada PKS tempatan supaya mereka bersedia menggunakan platform baru ini,” katanya selepas majlis pelancaran Anugerah 50 Perusahaan (E50), di sini, semalam.

Sebelum ini, Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di luar China yang mempunyai DFTZ bagi menggerakkan sektor ekonomi digital negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan pada masa akan datang.

Hafsah berkata, pihaknya berharap Anugerah E50 pada tahun ini yang dianjurkan SME Corp bersama rakan strategik lain termasuk Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) mampu memperlihatkan penyertaan lebih banyak syarikat PKS yang terbabit secara terus dengan ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 3:59 AM