Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan perlu memahami aspek pengurusan rantaian bekalan dan penyelesaian logistik bagi menghadapi revolusi industri keempat (Industri 4.0) yang membabitkan beberapa komponen termasuk ekonomi digital dan e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Datuk Hafsah Hashim berkata, pemahaman mengenai perkara itu penting dan perlu diberi penekanan dalam kalangan PKS bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif perniagaan yang diwujudkan kerajaan.

“Menyedari perkara ini, kami mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Malaysia Institute for Supply Chain Innovation (MISI) sebagai persiapan rapi dalam memberi pendedahan, sekali gus memperkukuhkan daya saing PKS tempatan pada masa depan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara SME Corp dan MISI di sini, semalam.

Pada majlis itu, Hafsah mewakili SME Corp manakala MISI diwakili Ketua Pegawai Eksekutif dan Rektornya Prof Dr David Gonsalvez.

Kerjasama antara kedua pihak itu bertujuan mendapatkan pandangan lebih baik mengenai cabaran dihadapi PKS tempatan dalam membangunkan rangkaian bekalan inovatif dan penyelesaian logistik.

Beliau berkata, perubahan daripada aspek pengurusan rantaian bekalan menjadi penentu kejayaan sesebuah PKS dan tahap kecekapan dalam pengurusan berkaitan juga bakal menentukan kapasiti dan keupayaan PKS tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, PKS tempatan boleh mengambil contoh pengurusan rantaian bekalan dipraktikkan jenama peruncitan terkemuka dunia, ZARA untuk dijadikan sebagai platform kepada PKS tempatan.

“Pengurusan rantaian bekalan ZARA mendapat sentuhan daripada MISI yang menjadi sebahagian daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan oleh itu, kita harus gunakan peluang ini untuk memperkasakan syarikat PKS tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut kerjasama itu, Hafsah berkata, pihaknya merancang satu program bagi memberi pendedahan pertama dan sebagai permulaan, September ini membabitkan bidang peranti perubatan dan aeroangkasa sebelum diperluaskan kepada bidang lain.

“Kami sudah berbincang dengan MISI sejak lebih setahun sebelum ia dilaksanakan secara mutlak dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 5:15 AM