DUA suspek dikehendaki polis berkaitan kes penipuan     tarik kereta   rosak di lebuh raya.
DUA suspek dikehendaki polis berkaitan kes penipuan tarik kereta rosak di lebuh raya.

Nilai: Selepas sekian lama menjadi buruan polis, dua lelaki termasuk seorang ketua kongsi gelap akhirnya ditahan di sebuah lokasi di Mantin, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, kedua-dua suspek dicekup anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, jam 3 petang.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 30 hingga 33 tahun itu dikehendaki polis berikutan terbabit pelbagai penipuan terutama kes tarik kereta mangsa rosak di lebuh raya.

“Sebaik kenderaan dibawa ke bengkel, suspek meleraikan bahagian enjin dan mengenakan caj tidak masuk akal. Puluhan mangsa tertipu dan setiap mangsa dikenakan caj sehingga RM3,000,” katanya.

Kata sumber itu lagi, mangsa dipaksa membuat bayaran jika tidak mahu kekerasan digunakan.

“Selain penipuan terbabit, kedua-dua suspek dikehendaki berikutan terbabit pelbagai jenayah kekerasan, peras ugut dan pergaduhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:44 AM