GAN Tian Kee (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang berdirampas daripada kumpulan kongsi gelap. FOTO Muhaizan Yahya
GAN Tian Kee (tengah) menunjukkan pistol tiruan yang berdirampas daripada kumpulan kongsi gelap. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Polis menahan 71 ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai terbabit dengan pelbagai jenayah kekerasan dalam Op Cantas Khas 2 di seluruh negeri ini yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, 6 hingga 19 Ogos lalu.

Ketua JSJ Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, daripada jumlah tangkapan itu, tiga suspek berada dalam senarai individu dikehendaki polis termasuk seorang dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Menurutnya, kesemua mereka adalah ahli lima kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 04, 30, 08, 21 dan 24 yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan termasuk bunuh, samun, ugut, dadah serta memiliki senjata berbahaya.

Katanya, polis merampas pedang, parang, kerambit, pisau dan pistol palsu dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah kekerasan yang dilakukan.

"Polis akan melakukan pemantauan serta operasi berterusan untuk menangkap lebih ramai ahli kumpulan kongsi gelap yang menimbulkan kerisauan serta mengancam keselamatan orang awam.

"Selain itu, polis juga sudah mengenal pasti 32 kumpulan kongsi gelap yang bergiat aktif di negeri ini dan akan membanterasnya secara berterusan," katanya dalam sidang media Op Cantas Khas 2, di IPK Perak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 12:59 PM