GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu warga Taiwan yang juga suspek kes tembakan di negara berkenaan pada 20 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian JabatanSiasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika memasuki negara ini melalui penerbangan dari Taiwan pada 20 April lalu.

"Kedua-dua suspek adalah orang dikehendaki oleh pihak polis Taiwan kerana disyaki terbabit dengan kes tembakan di negara itu.

"Malah, mereka juga disyaki ahli kongsi gelap serta anggota sindiket 'scammer' (penipuan) di Taiwan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, mereka ditahan susulan waran tangkap oleh pihak berkuasa Taiwan dan pembatalan pasport dua individu berkenaan oleh kerajaan negara itu.

"Tangkapan terhadap dua suspek berkenaan dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 ketika mereka tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kedua-dua suspek diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA untuk dibawa pulang ke negara asal mereka jam 2.45 petang, semalam," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan pihak berkuasa Taiwan dan kolaborasi berkenaan akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek terbabit di Malaysia.

"PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Langkah-langkah keselamatan akan diambil bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai negara transit atau destinasi untuk mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 10:26 AM