TERTUDUH (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, semalam.
TERTUDUH (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, semalam.
Murni Wan Omar


Selayang: Seorang perunding kewangan dan bekas guru Ahmad Amiruddin Mohamed, 46, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menyalahgunakan wang RM691,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan komoditi.

Ahmad Amiruddin bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta RM481,000 yang dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun Maybank syarikat miliknya iaitu AAM Global Corporation bagi aktiviti pajakan hotel.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang RM210,000 dengan cara yang sama untuk aktiviti perdagangan komoditi.

Ahmad Amiruddin didakwa melakukan perbuatan itu di Kondominium Laksamana Puri, Batu Caves dekat sini, antara 29 Jun 2015 dan 19 Julai 2016 serta Bank Islam cawangan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 3 Mac 2015 hingga 3 April 2015.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Terdahulu, Mohamad Saiful memohon memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 9:19 AM