Murni Wan Omar


Ampang: Bekas guru dan perunding kewangan, Ahmad Amiruddin Mohamed, 46, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM830,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan kelapa sawit.

Tertuduh yang dibawa ke tiga mahkamah berlainan tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan.

Ahmad Amiruddin didakwa atas enam pertuduhan dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Mohd Zailani Abdul Razak, 42 iaitu enam keping cek Maybank bernilai RM650,000 untuk pelaburan perdagangan minyak sawit CP8.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tahfiz Madrasah Al Islah, AU2, Taman Keramat pada 11 Mac 2015.

Tertuduh juga didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta Mohd Zailani berjumlah RM180,000 untuk pelaburan pajakan Islamic Hotel di Maybank Taman Melawati pada 15 Jun 2016.

Bagi semua pertuduhan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 1:24 PM
Ahmad Amiruddin (tengah) menghadapai tujuh pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM830,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan kelapa sawit.  FOTO Zulfadhli Zulkifli
Ahmad Amiruddin (tengah) menghadapai tujuh pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM830,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan kelapa sawit. FOTO Zulfadhli Zulkifli