GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar


Tiga termasuk anak dan menantu pemuzik serta komposer Man Kidal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik sebuah syarikat pelaburan, tahun lalu.

Mohd Shefflee Rahman, 33, dan isterinya, Shireen Amani Lucia Lerang, 30 bersama Amirullah Basarullah, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Ketiga-tiga mereka didakwa secara berasingan menyalahgunakan harta seorang juruteknik, Mohd Shahrizal Mohamad Jaapar, 37, iaitu wang tunai RM30,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank Global Tijari Industries Sdn Bhd di Jalan Klang, Puchong, pada 6.02 pagi, 27 Jun 2016.

Global Tijari adalah milik Shireen Amani Lucia dan Amirullah, manakala Mohd Shefflee adalah pengarah syarikat itu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 7:29 PM