OMBAK besar setinggi empat meter membelenggu penduduk Telok Melano untuk ke pekan Sematan.
OMBAK besar setinggi empat meter membelenggu penduduk Telok Melano untuk ke pekan Sematan.

Lundu: Kaedah bersesuaian akan diteliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghantar peti undi menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu ke Telok Melano sekiranya laut masih bergelora.

Telok Melano sebuah kawasan terletak di penghujung kawasan barat Borneo hanya dapat dihubungkan menggunakan bot.

Ketika ini, Telok Melano tidak dapat dihubungi berikutan ombak besar melanda perairan di kawasan itu, manakala laporan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia mencatatkan ketinggian ombak di perairan Kuching antara 2.5 meter sehingga 3.5 meter sehingga Sabtu ini sebelum menurun kepada 0.5 meter sehingga 1 meter selepas itu.

Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata, setakat ini pihaknya akan meneruskan perancangan asal iaitu menggunakan bot untuk proses pilihan raya yang akan diadakan Sabtu ini.

Menurutnya, berdasarkan ramalan, cuaca dan keadaan laut akan kembali tenang dalam tempoh beberapa hari lagi.

“SPR masih dengan perancangan asal menggunakan bot untuk ke Telok Melano yang mempunyai satu pusat pengundian iaitu di Sekolah Kebangsaan Telok Melano.

“Kami juga harapkan keadaan cuaca dan laut kembali tenang bagi membolehkan peti undi dibawa ke pusat pengundian dan dibawa keluar untuk pengiraan Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi.

Setakat ini penduduk di Telok Melano hanya menggunakan bot yang mengambil masa sejam untuk ke pekan paling dekat iaitu Sematan.

Namun, sejak beberapa hari lalu keadaan laut bergelora dan hujan lebat membahayakan sebarang aktiviti di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 10:39 AM