SEBAHAGIAN daripada pengguna motosikal beratur menunggu giliran isian minyak percuma.
SEBAHAGIAN daripada pengguna motosikal beratur menunggu giliran isian minyak percuma.

Jasin: Lebih 130 penunggang motosikal sanggup menunggu bermula jam 4 petang dan beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan isian petrol percuma di sebuah stesen minyak di Umbai, di sini, semalam.

Program anjuran Kelab Motosikal ARC Melaka itu berlangsung selama satu jam bermula jam 5 hingga 6 petang dengan setiap penunggang diberikan had isian petrol sebanyak RM5.

Penunggang motosikal Nurul Suhaila Mohd Yakub, 30, berkata, kerana tidak mahu terlalu lama menunggu giliran dia ke stesen minyak itu pada jam 4.30 petang sejurus tamat bekerja.

“Namun ketika sampai sudah ramai penunggang motosikal lain sedang beratur, mahu atau tidak saya terpaksa menunggu giliran semata-mata mahu menikmati isian petrol percuma.

“Saya mengetahui penganjuran program ini selepas dimaklumkan rakan yang membaca tular mengenai pemberian petrol percuma oleh kelab motosikal terbabit,” katanya.

Penganjur program Ahmad Bilal Rahudin, 33, berkata, pihaknya teruja kerana pemberian petrol dikhaskan untuk motosikal berkuasa bawah 150cc itu mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM1,500 bagi menjayakan program itu yang juga salah satu usaha untuk membantu penduduk sekitar daerah Jasin berjimat.

“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan terutama penduduk dari Ulu Serkam, Telok Mas dan umbai, malah kami difahamkan ada yang menunggu lebih awal iaitu sejam sebelum program bermula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 10:08 AM