SUHAIDA (dua dari kiri) dibantu petugas APM untuk dipindahkan dari rumah keluarganya di Felda Tenang ke Hospital Besut, 7 malam ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
SUHAIDA (dua dari kiri) dibantu petugas APM untuk dipindahkan dari rumah keluarganya di Felda Tenang ke Hospital Besut, 7 malam ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Nurul Fatihah Sulaini


“SEJAK tengah hari, saya rasa sakit perut hendak bersalin, tetapi tidak dapat keluar dari kawasan kampung kerana laluan terputus dan tidak boleh dilalui sebarang kenderaan,” kata Suhaida Azmani dari Felda Tenang, Jertih.

Suhaida, 27, yang sarat mengandung 39 minggu berkata, dia pulang ke kampungnya di Felda Tenang pada 13 November lalu untuk persediaan bersalin anak sulung dijangka pada 7 Disember ini.

“Pada awalnya keluarga cuba menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tetapi trak APM tidak boleh melalui jalan di Kampung Bukit Payong sebelum mereka menggunakan bot untuk mengambil saya di rumah.

“Suami, Badrul Naim Mat Tahar, 26, masih dalam perjalanan pulang ke kampung dari Kuala Lumpur untuk menemani saya melahirkan bayi kami nanti dan saya mendoakan perjalanannya tidak terhalang dengan banjir,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Suhaida berkata, jika diikutkan, malam ini dia mahu menumpang sementara di rumah ibu saudara di Pasir Akar, tetapi bimbang laluan jalan ke hospital akan dinaiki air lalu membuat keputusan untuk terus ke Hospital Besut.

“Pengalaman ini agak mencabar kerana saya perlu meredah banjir dalam keadaan sarat mengandung kerana tidak menyangka tahun ini kawasan kampung terbabit banjir,” katanya.

Sementara itu, Nur Hafizah Abdullah Zawawi, 32, berkata, pagi ini mereka sekeluarga sepatutnya menyertai majlis berkhatan perdana anak keduanya tetapi terpaksa ditangguh ke tahun depan kerana banjir.

Katanya, ketika dia mengejutkan anaknya, Muhammad Azri Md Sapiri@Asri, 9, untuk mandi dan bersiap bagi menyertai Majlis Berkhatan Perdana di Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur, Besut, air mula memenuhi halaman rumah.

“Apabila buka pintu rumah, saya terkejut air semakin naik hingga tayar kereta depan tenggelam pada 6 pagi hari ini.

“Saya memasak sarapan dalam air kerana dapur sudah ditenggelami banjir dan sempat siapkan makanan ringkas seperti ayam goreng dan nasi putih untuk keluarga,” katanya yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Bukit Payong.

Katanya, dia meminta adiknya membawa anak bongsunya, Muhammad Atiqullah Md Sapiri@Asri, lima bulan ke PPS sebelum dia keluar rumah selepas solat Jumaat apabila paras air melepasi 1.2 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:14 PM