NUR Nadia Husna yang mengalami masalah usus perlu menjalani pembedahan kedua. FOTO Rosli Ilham
NUR Nadia Husna yang mengalami masalah usus perlu menjalani pembedahan kedua. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan perlu menjalani pembedahan kali kedua selepas mengalami masalah usus tersumbat.

Nur Nadia Husna Shakur yang tinggal di Kampung Paya Balai Besar, di sini, terpaksa menanggung derita tidak dapat membuang air besar melalui dubur selepas sebulan dilahirkan.

Bapanya, Shakur Ismail, 36, berkata, selepas dilahirkan, Nur Nadia kerap mengalami kembung perut dan sering meragam.

"Saya bawa dia (Nur Nadia) ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Doktor mengesahkan saluran ususnya ada masalah dan najis Nur Nadia terpaksa disedut keluar melalui duburnya selama tiga minggu sebelum kembali dapat najis dengan baik," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Alias Harun, hari ini.

Shakur yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, sejak tiga minggu lalu, penyakit dihadapi anaknya itu berulang kembali dan Nur Nadia terpaksa menjalani pembedahan pertama apabila perutnya ditebuk.

Menurutnya, kini anaknya hasil perkahwinan dengan Latifah Harun, 28, itu terpaksa menggunakan beg stoma yang dilekatkan pada lubang ditebuk itu untuk membuang najis.

"Pembedahan pertama itu dikenakan kos melebihi RM17, 000 dan sehingga kini saya tidak mampu membayar kos itu.

"Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan, saya tidak dapat bekerja dan berterima kasih kepada orang ramai menyumbang lampin pakai buang serta susu anak.

"Setakat ini, doktor belum memberi tarikh untuk pembedahan kedua bagi betulkan saluran usus, tetapi saya risau kerana setakat ini, bayaran untuk pembedahan pertama pun masih belum diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Alias berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah mengenai masalah dihadapi Nur Diana.

Menurutnya, selain agensi itu, pihaknya berhubung dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Tabung Darul Iman bagi mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 4:41 PM