warga Rohingya melihat pameran kekejaman terhadap etnik Rohingya pada Program Doa Untuk Rohingya di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.
warga Rohingya melihat pameran kekejaman terhadap etnik Rohingya pada Program Doa Untuk Rohingya di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Tentera Myanmar yang datang ke kampung etnik Muslim Rohingya di Rakhine akan mengasingkan lelaki dan wanita sebelum memilih yang paling cantik untuk dibawa ke kem tentera bagi memuaskan nafsu mereka.

Kaum lelaki pula jika ditangkaptentera memang mustahil pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat kerana akan dibunuh tanpa belas ihsan.

Perkara itu didedahkan Bendahari Majlis Ulama Rohingya (MUR), Abdu Sattar Abdu Ghaffar ketika ditemui Harian Metro sempena majlis pelancaran program Doa Untuk Rohingya dan Tabung Kemanusiaan anjuran Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jumaat lalu.

Menurut Abdu Sattar, keadaan itu terpaksa dihadapi masyarakat Islam Rohingya selama lebih 20 tahun lalu, namun ia semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tentera akan datang memeriksa kediaman penduduk dan memusnahkannya.

“Penduduk tidak boleh melawan kerana mereka bersenjata,” katanya.

Abdu Sattar berkata, masyarakat dunia tidak seharusnya percaya dengan jumlah korban yang diberikan Kerajaan Myanmar kerana angka sebenar adalah lebih daripada itu.

“Penduduk di Rakhine bukan saja berdepan kekejaman tentera, malah sami Buddha di sana bertindak di luar batasan.

“Sami itu sebelum ini membaling batu ke masjid ketika masyarakat Islam Rohingya menunaikan sembahyang,” katanya.

Sementara itu, Abu Sufian Soyid Husin, 42, yang baru tiba di negara ini akhir tahun lalu berkata, dia terpaksa meninggalkan keluarganya selepas tentera memulakan pembersihan etnik di Rakhine.

Abu Suffian berkata, adik, isteri dan lima anaknya berlindung di sebuah kem pelarian manakala dia terpaksa melarikan diri keluar dari negara berkenaan.

Katanya, dia bersama 300 lagi pelarian menumpang sebuah kapal untuk melarikan diri dari wilayah itu, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila ditahan di sempadan perairan Thailand.

“Kami dipenjarakan selama lapan bulan dan ketika di sanalah, saya bertemu seorang ejen yang membawa ke Malaysia dengan bayaran RM3,000” katanya.

Menurut Abu Sufian, dia merindui keluarga serta kampung halaman dan berharap Rakhine akan kembali aman suatu hari nanti.

Katanya, kaum lelaki terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman kerana jika tidak akan dibunuh tentera.

“Biarpun terpisah ribuan batu, namun Rakhine sememangnya sentiasa di hati dan ingatan kami.

“Semoga suatu hari nanti, kami berpeluang kembali ke pangkuan keluarga dan kampung halaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 8:58 AM