aktiviti warga asing di sekitar kawasan Jalan Yap Ah Loy, Kuala Lumpur sempena cuti umum Tahun Baru Cina, semalam.
aktiviti warga asing di sekitar kawasan Jalan Yap Ah Loy, Kuala Lumpur sempena cuti umum Tahun Baru Cina, semalam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Setiap kali cuti musim perayaan, warga asing yang bercuti akan keluar beramai-ramai berkumpul di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara, sekali gus mengundang rasa tidak selesa penduduk tempatan dan pelancong.

Malah, lebih menyakitkan mata, apabila mereka turut membuat bising, minum minuman keras di khalayak ramai selain meludah merata tempat hingga menjadikan kawasan kotor.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Pasar Seni, Medan Pasar, Jalan Chow Kit dan Bukit Bintang, di sini, mendapati kawasan berkenaan di bahagikan kepada warga negara tertentu dengan mereka mula berkumpul sejak pagi.

Pasar Seni dan Medan Pasar adalah kawasan yang dipenuhi warga Myanmar dan Bangladesh manakala Jalan Chow Kit pula adalah tempat warga Indonesia berkumpul untuk bertemu rakan masing-masing.

Kawasan Bukit Bintang pula dipenuhi warga asing dari Asia Barat berikutan kebanyakan kedai makan di kawasan berkenaan dipercayai dibuka oleh mereka.

Situasi berkenaan yang berlanjutan sejak beberapa tahun lalu mengundang rasa tidak selesa kepada orang ramai kerana ada antara mereka ‘besar kepala’ dengan lagaknya seperti warga tempatan.

Malah, jika melihat di kawasan Medan Pasar, warga asing dipercayai dari Myanmar membuka gerai di kaki lima menjual sireh dan makanan tanpa rasa takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Seorang peniaga, Halimah Jantan, 54, berkata, dia yang berniaga di kawasan sekitar Pasar Seni sudah lali dengan kebanjiran warga asing terutama pada musim cuti perayaan.

“Setiap kali cuti perayaan pasti kawasan Pasar Seni dan Medan Pasar dipenuhi warga asing yang berkumpul sejak pagi dan mereka akan membuat bising hingga mengganggu perniagaan.

“Jika mereka mabuk keadaan lagi teruk kerana pasti berlaku pergaduhan antara kumpulan atau merosakkan barang perniagaan peniaga kaki lima,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, kakitangan swasta Ahmad Bukhari Osman, 30, berkata, kebanyakan penduduk tempatan akan mengelak daripada melalui kawasan berkenaan kerana suasananya yang serabut dan dipenuhi warga asing.

“Warga asing berkenaan akan berkumpul dalam kalangan mereka dan mengganggu orang yang lalu lalang hingga mencetuskan pergaduhan sekali gus membahayakan keselamatan orang awam.

“Pihak berkaitan seharusnya memandang serius masalah terbabit kerana kawasan berkenaan seperti di negara asing dengan dipenuhi golongan terbabit terutama pada cuti perayaan,” katanya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 8:57 AM