KEBANJIRAN warga Afrika membimbangkan penduduk tempatan.
KEBANJIRAN warga Afrika membimbangkan penduduk tempatan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mohd Hasbi Sidek


KUALA LUMPUR: Kehadiran pendatang dari benua Afrika di beberapa kawasan tumpuan menggusarkan penduduk yang mendakwa mereka sering menyebabkan gangguan ketenteraman awam.

Malah, kumpulan pelancong kulit hitam itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan peniaga tempatan dengan gelagat mereka yang kasar dan ‘berperangai liar’.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan seperti Bandar Sunway, Taman Connaught (Cheras), Aman Puri (Kepong) dan kawasan kondominium Venice Hill (Cheras) mendapati tidak sukar untuk melihat kelibat awang hitam yang bebas bergerak dalam kumpulan seolah-olah berada di negara mereka.

Mereka juga didapati menjalankan perniagaan kedai runcit, pusat hiburan dan kedai pakaian dengan menjadikan sebuah pasar raya di Taman Connaught sebagai ‘lubuk’ kegiatan itu.

Peniaga tempatan Kok Chong Fatt, 43, berkata, terdapat lebih 10 kedai yang disewa oleh warga asing di kawasan pasar raya berkenaan.

“Kebanyakan mereka tinggal di kawasan berdekatan, barangan yang dijual adalah pakaian yang biasa digunakan oleh warga Afrika dan memang pelanggan mereka adalah daripada rakan mereka sendiri.

“Mereka menjadikan kawasan ini tempat lepak dan sering membuat bising terutama jika secara berkumpulan dan dalam keadaan mabuk,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan dilakukan di Desa Aman Puri mendapati warga Afrika terbabit memonopoli kawasan berkenaan.

Penduduk di kawasan berkenaan bimbang kerana perlakuan biadab kumpulan pendatang terbabit yang dilihat sering mabuk kerap mencetuskan onar.

Masalah itu dihadapi penduduk Desa Aman Puri susulan lambakan warga Afrika di kawasan kediaman mereka sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, jumlah mereka yang semakin bertambah, sehingga lebih 300 orang di kawasan kediaman berusia kira-kira 13 tahun itu meresahkan dan merunsingkan penduduk.

Azizah Osman, 45, berkata jumlah warga Afrika itu semakin bertambah sejak tiga tahun lalu dan pelbagai isu mula timbul.

“Bayangkan, mereka (warga Afrika) juga sudah ada restoran sendiri, yang diuruskan oleh mereka, di situlah tempat mereka berkumpul,” katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Badan Pengurusan Bersama Desa Aman Puri Datin Husaina Bevie, 41, berkata warga Afrika terbabit menyewa rumah dengan harga yang agak tinggi dan menginap antara lapan hingga 10 orang satu rumah.

Katanya, kebanyakan warga Afrika mendakwa mereka adalah pelajar namun kelakuan dan cara hidup ditonjolkan tidak menyerupai kehidupan seorang pelajar.

“Hampir setiap malam mereka lepak dan membuat bising sehingga awal pagi, itu belum kira bila mereka mabuk sampai timbul pergaduhan dalam kalangan mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 7:00 AM